Mourinho saksi kemenangan Roma dari tempat parkir

MILAN: Jose Mourinho adalah seorang pengurus yang sering bertuah dan terus mencipta tuah bersama kelab disertainya.

Pengendali ternama dari Portugal itu mendokumentasikan harinya menyaksikan AS Roma bermain menentang Inter Milan dari bas pasukan itu di tempat letak kereta San Siro semalam.

Mourinho, yang sinonim dengan sistem permainan bertahan ‘Park the Bus’, dilayangkan kad merah kerana merempuh masuk ke padang ketika kekalahan 1-0 kepada Atalanta sebelum rehat perlawanan antarabangsa bermakna beliau terpaksa menjalani penggantungan di garisan tepi bagi perlawanan itu.

Ia bermakna bekas bos Chelsea, Manchester United dan Tottenham itu tidak mempunyai pilihan selain menonton aksi perlawanan dari bas pasukan.

Pengurus berusia 59 tahun itu memastikan peminat mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan perlawanan yang menyaksikan Roma bangkit melakar kemenangan 2-1 dengan beberapa hantaran menggelikan hati di media sosial.

Federico Dimarco meletakkan tuan rumah di hadapan tetapi gol daripada Paulo Dybala dan bekas pemain Manchester United, Chris Smalling memberikan tiga mata berharga kepada Mourinho dan anak buahnya.

Jelas sekali terperangkap dalam bas terlalu berat baginya apabila Mourinho dengan nada lucu berkata dalam video: “Saya akan mati di sini.”

Pada satu ketika beliau keluar untuk mengganggu kakitangan kelab itu dan menunjukkan kepada peminat mengenai persekitarannya – dengan banyak jersi diletakkan di tepi jalan di sebelah bas.

Walaupun tidak dapat menjerit memberikan arahan dari tepi padang, beliau memastikan untuk menunjukkan penghargaan kepada pasukannya.

Mourinho berkata dalam bahasa Itali sambil menonton: “Syabas semua, satu permainan bola sepak yang hebat.”

Bos Roma itu menamatkan video ‘sehari dalam kehidupannya’ dengan meraikan secara gila kemenangan itu bersama pemandu basnya.

Beliau juga dilihat berjaya menyelinap masuk ke bilik persalinan untuk menyertai pemain meraikan kemenangan.

Penjaring gol Roma, Dybala menyiarkan gambar di Instagram dari dalam bilik persalinan selepas perlawanan itu dengan Mourinho tiba-tiba muncul dalam sekelip mata.

 

 

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker