PAS dan Bersatu masing-masing bertanding 20 kerusi di Perak



IPOH – Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Pesuruhanjaya Pas Perak, Razman Zakaria ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihan Raya PRU15 Pas Perak di sini, malam tadi.

Menurutnya, 40 kerusi DUN itu adalah kawasan majoriti pengundi Melayu.

Katanya, baki 19 lagi yang merupakan kerusi campuran, akan dibincangkan oleh Gerakan dengan beberapa pihak seperti Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) dan Sayap Bersekutu Bersatu.



“Bagaimanapun, perkara ini tertakluk kepada keputusan kepimpinan pusat,” ujar Razman, yang juga Timbalan Pengerusi PN Perak.

Hadir sama pada majlis itu ialah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Razman berkata, sekiranya keputusan yang dibuat kepimpinan pusat tidak sama dengan pembahagian kerusi itu, mereka akan mematuhinya.

Beliau juga berkata, Pas Perak bersetuju untuk menggunakan logo PN bagi mewakili parti itu dalam PRU15 nanti dan hasrat itu telah dimaklumkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.



Namun, katanya, keputusan muktamad mengenai perkara tersebut tetap bergantung kepada arahan pimpinan di peringkat pusat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan turut diadakan lelongan koleksi peribadi Abdul Hadi, Hashim dan bekas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Allahyarham Norazli Musa bagi mengisi dana PRU15 Pas Perak.

Tongkat milik Abdul Hadi mendapat bidaan tertinggi iaitu RM11,000 selain beberapa barang lain seperti kopiah, vest dan jubah.

© Astro Awani





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker