Penonton salahkan polis punca ramai maut

Malang, Indonesia: Sam Gilang berlari ke pintu keluar bersama puluhan ribu penonton lain yang panik selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan memukul mereka dengan cota menyebabkan ramai mati terpijak serta sesak nafas sehingga mengorbankan 125 orang dan 323 yang lain mengalami kecederaan.

“Penonton bertolakan sesama sendiri ketika berlari ke pintu keluar,” katanya yang berusia 22 tahun kepada AFP.

Gilang kehilangan tiga rakan dalam tragedi di Stadium Kanjuruhan itu. “Ia sangat menakutkan dan mengejutkan,” katanya.

Ribuan penonton menyerbu ke padang selepas tamat perlawanan di antara Arema FC yang tewas 2-3 kepada pasukan pelawat, Persebaya Surabaya .



Polis berusaha menghalang mereka dengan menggunakan cota dan perisai namun kemudiannya melepaskan gas pemedih mata ke tempat ke arah penonton.

Polis mendakwa berlaku rusuhan tetapi beberapa saksi menafikannya.

“Tiada rusuhan, saya tak tahu apa isunya, mereka tiba-tiba melepaskan gas pemedih mata,” kata Dani berusia 43 tahun.

“Ia mengejutkan saya. Mereka langsung tidak memikirkan kanak-kanak, wanita?”



Tindakan polis menyebabkan penonton panik dan menyebabkan mereka berlari ke pintu keluar.

“Asap dilepaskan di mana-mana. Saya terkena sesuatu dan panik. Pintu keluar terlalu sesak. Saya keliru dan tak tahu pintu mana sepatutnya dituju,” kata seorang lagi penonton yang hanya mahu dikenali sebagai Fian.

“Polis sangat sombong, cukuplah hanya menggunakan cota dan bukan gas pemedih mata,” kata Gilang lagi.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker