Qatar belanja RM925 bilion anjur Piala Dunia 2022

LONDON: Qatar membelanjakan RM925 bilion untuk menganjurkan Piala Dunia pada tahun ini dan jumlah itu adalah 20 kali ganda daripada jumlah yang dikeluarkan Russia bagi menganjurkan edisi 2018.

Kejohanan penuh kontroversi itu akan membuka tirainya pada 20 November depan, di sebalik isu infrastruktur yang timbul meskipun tuan rumah sudah berbelanja mewah.

Perbelanjaan Qatar itu jauh lebih besar berbanding Russia yang mengeluarkan kos sebanyak RM53.6 bilion untuk menjadi tuan rumah empat tahun lalu.

Kos tertinggi sebelum itu adalah sebanyak RM69.4 bilion yang dibelanjakan Brazil bagi edisi 2014 sementara Afrika Selatan membelanjakan RM16.6 bilion empat tahun sebelumnya.

Piala Dunia 2006 di Jerman menelan kos RM20 bilion sementara Korea Selatan dan Jepun membelanjakan sebanyak RM32.3 bilion untuk menganjurkan edisi 2002.

Kos Piala Dunia di Perancis sebanyak RM10.6 bilion manakala Amerika Syarikat membelanjakan RM2.31 bilion bagi edisi 1994.

Penyokong England merungut dengan kekurangan kemudahan yang menyaksikan pada Mac tahun ini, hanya 30,000 bilik hotel disediakan di Qatar walaupun lebih sejuta penyokong dijangka hadir menyaksikan kejohanan itu.

Lebih mengecewakan penyokong, 80 peratus daripada bilik itu sudah ditempah oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk pasukan bertanding, penaja serta pengurusan tertinggi mereka.

Qatar membina tujuh stadium baharu bagi kejohanan itu selain memodenkan semula stadium lama, Stadium Antarabangsa Khalifa.

Penyokong yang akan hadir menyaksikan perlawanan mungkin tidak akan berada 24 jam di Qatar.

Negara berjiran mereka iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman dan Kuwait dijangka menjadi destinasi penyokong bagi mendapatkan kemudahan yang lebih berpatutan.

Penyokong boleh menaiki 50 penerbangan harian daripada Dubai ke Doha dan pegawai UAE percaya mereka boleh menarik kira-kira sejuta pelancong ketika Piala Dunia itu dianjurkan.

Di sebalik perbelanjaan RM925 bilion itu, hanya RM30 juta dibelanjakan untuk stadium, kemudahan pasukan bertanding serta fasiliti penyokong.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Eksekutif Komunikasi Piala Dunia Qatar, Fatma Al Nuaimi berkata ‘Ketika Piala Dunia menjadi sebahagian daripada Visi Kebangsaan Qatar 2030, strategi kerajaan lebih luas untuk mempromosi perkembangan intensif terhadap fasiliti nasional dan urban serta industri, selain pendidikan dan sistem kesihatan.

“Jumlah RM925 bilion yang sering dikaitkan dengan Piala Dunia sebenarnya adalah sebahagian daripada strategi pembangunan dan pemodenan Qatar.

“Kebanyakan projek infrastruktur berskala besar yang akan digunakan oleh pasukan dan penyokong pada 2022 seperti jalan baharu, kereta api bawah tanah, lapangan terbang, hotel serta kemudahan pelancong yang lain sudah dirancang sebelum kami mendapat hak penganjuran Piala Dunia.

“Projek ini akan tetap dilaksanakan namun Piala Dunia menjadikan projek ini lebih pantas diselesaikan supaya negara ini boleh menjadi tuan rumah kepada 1.5 juta penyokong yang kami jangkakan hadir pada 2022,” katanya.

Aksi final akan berlangsung di Lusail, bekas perkampungan yang terletak kira kira 15 batu dari selatan Doha.

Bajet besar Qatar selaras dengan projek 2030 dilaburkan untuk membina lapangan terbang dan jaringan pengangkutan bawah tanah.

Doha Metro dibuka pada Mei 2019 dan kos pembinaannya dilaporkan mencecah RM116 bilion.

Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad yang dibuka pada 2014 pula dilaporkan menelan belanja RM74 bilion lagi untuk dibangunkan. -AGENSI

Kos untuk setiap Piala Dunia

Amerika Syarikat 1994: RM2.31 bilion

Perancis 1998: RM10.6 bilion

Korea Selatan/ Jepun 2002: RM32.3 bilion

Jerman 2006: RM20 bilion

Afrika Selatan 2010: RM16.6 bilion

Brazil 2014: RM69.4 bilion

Russia 2018: RM53.6 bilion

Qatar 2022: RM925 bilion

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker