Haaland sedia buat Van Dijk, Liverpool meraung

LIVERPOOL: Pep Guardiola percaya Erling Haaland mampu melakukan apa yang gagal disempurnakan legenda Manchester City, Sergio Aguero iaitu menjaringkan gol buat pasukan juara itu di Anfield.

Haaland berjaya memukau di Etihad sejak tiba dari Borussia Dortmund, menjaringkan 20 gol dalam hanya 13 penampilan dan rekod jaringan kelab milik Aguero dengan 260 gol kelihatan boleh terancam.

Namun, penyerang Norway berusia 22 tahun itu berdepan ujian terbesarnya apabila dia bertembung dengan pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk di stadium yang menjadi ‘tanah perkuburan’ buat Sky Blues malam ini.

Satu-satunya kemenangan City di bumi Liverpool sejak pengambilalihan Sheikh Mansour pada 2008 adalah di Anfield tanpa peminat dua musim lalu – dan Aguero gagal menemui jaringan di hadapan peminat The Kops dalam sembilan percubaan untuk City dan dua lagi ketika beraksi dengan Atletico Madrid.



Guardiola tidak bimbang mengenai kekuatan mental Haaland yang menjaringkan gol dalam satu-satunya lawatan ke Anfield sebelum ini apabila kalah 4-3 dalam aksi Liga Juara-Juara ketika dia bersama RB Salzburg.

Guardiola berkata: “Ia persoalan yang perlu dijawab Sergio sendiri (mengapa dia tidak menjaringkan gol di Anfield).

“Tetapi hakikatnya ia satu perlawanan bola sepak, 11 lawan 11, dan ia sama seperti permainan lain. Jika sukar untuk menjaringkan gol di Anfield ia kerana lawannya sukar. Ia bukan kerana stadium. Saya tidak pernah berada di Anfield sebagai penyerang yang cuba menjaringkan gol, jadi saya tidak mempunyai perasaan itu.

“Cabaran terbesar Erling adalah untuk menyesuaikan diri di sini secepat mungkin tapi dia berjaya melakukannya. Dia tidak mempunyai pasangan. Ia satu gaya hidup yang berbeza di sini di England. Pada awalnya, ini adalah perkara yang paling penting kerana kemudian dia boleh menjadi dirinya sendiri.



“Apabila seseorang pemain tiba, anda sentiasa mengharapkan yang terbaik tetapi dia sudah menjaringkan gol di mana sahaja dia berada. Namun saya bercakap dengan Erling untuk mengetahui sama ada dia menjangkakan gol kerana setakat ini jumlahnya sukar dipercayai. Dia baru berada di sini selama dua atau tiga bulan dan masih boleh meningkat. Banyak detik buruk akan datang pastinya dan pada saat itu dia mesti berkata ‘tak mengapa, sekarang beralih kepada yang seterusnya’.”

Kecekapan Haaland dari segi gol bagi setiap sentuhan adalah menakjubkan. Lima belas gol sudah dijaringkannya dalam sembilan penampilan pertamanya di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dia sudah mencatat tiga hatrik. Sebelum ini bekas pemain Molde itu diramal bergelut dengan falsafah berasaskan penguasaan Guardiola.

Namun bos City itu menegaskan beliau sukakan Haaland dengan caranya tersendiri. Guardiola mengakui: “Kami terkejut dengan mentalitinya. Kami sedar akan kemahirannya, tetapi bagaimana dia bertindak pada saat-saat buruk, dalam situasi itu…

“Dia mungkin kelihatan tidak terbabit dalam perlawanan selama 20 minit, tetapi dia tidak pernah tersasar daripada permainan. Ia terlalu sukar apabila anda tidak menyentuh bola tetapi apabila ia hadir anda berjaya menjaringkan gol. Ia kerana anda sentiasa percaya anda masih dalam proses.

“Apabila anda mempunyai keupayaan dan anda percaya ia sentiasa menjadi lebih mudah. Haaland sentiasa ada, berkata ‘Saya akan tiba, saya akan berada di sana, saya akan menjaringkan gol’.”

Guardiola menambah: “Sekarang, Erling lebih terbabit dalam permainan berbanding sebelum ini. Tetapi walaupun dia tidak terbabit dengan bola, dia tidak pernah terputus hubungan. Itu penting.

“Itulah kemahiran terbesar yang dimilikinya. Kadang-kadang, ia sukar kerana dia akan mempunyai tiga atau empat pemain mengelilinginya apabila dia mengawal bola tetapi dia mempunyai kualiti. Dia boleh turun sedikit tetapi kami memerlukannya di sana dengan kepantasan dan pergerakannya, sudah tentu.”

City sudah berada 13 mata di depan pasukan yang menjadi ancaman terbesar mereka sejak lima musim lalu sama ada di England mahupun di Eropah. Namun beliau enggan mengetepikan Liverpool daripada perlumbaan kejuaraan selain berwaspada mengenai kebangkitan Arsenal di bawah bekas pembantunya Mikel Arteta.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker