Speaker tidak ada kuasa benarkan Najib hadir sidang Parlimen



 

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat menjelaskan dirinya tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan Datuk Seri Najib Razak (Pekan-BN) untuk hadir ke sidang dewan yang bermula hari ini.

Jelasnya, setiap ahli Parlimen tidak memerlukan kebenaran beliau untuk hadir namun ia terpulang kepada Jabatan Penjara Malaysia untuk membuat keputusan mengenainya.

“Persoalannya sekarang adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah bidang kuasa saya kerana ‘he is not in my custody, who has his custody’ adalah (Jabatan) Penjara.

“Maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan tersebut. Itu bukan kuasa saya,” katanya dalam Dewan Rakyat.



Terdahulu Hanipa Maidin (Sepang-PH) bangun mempertikaikan ketidakhadiran Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

“Oleh kerana dia (Najib) masih ahli Parlimen, saya cadangkan kita benarkan dia hadir ke Parlimen. Tapi saya letak syarat dia mesti bergari tetapi dia boleh pakai baju macam kita semua. Kami nak tengok macam mana ahli Parlimen bergari datang Parlimen,” katanya.

Seorang lagi ahli Parlimen pembangkang bangun bertanyakan bila status Najib sebagai ahli Parlimen akan terlucut.

“Bila akan hilang,” soal Khalid Samad (Shah Alam-PH).



Azhar Azizan menjawab ; “Akan hilang kelayakan apabila permohonan pengampunan beliau ditolak.”

Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata, ia adalah bergantung kepada pihak Jabatan Penjara untuk memberikan pelepasan tersebut.

“Fahaman saya kalau pihak penjara melepaskan beliau dari penjagaan maka penjara yang akan berikan syarat pelepasan tersebut,” katanya lagi.

Azhar Azizan sebelum ini berkata, status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan kekal berikutan petisyen pengampunan telah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, kuat kuasa kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen hanya akan dimuktamadkan apabila petisyen pengampunan yang difailkan 2 September lalu dibereskan atau ditolak.



Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung kes penyelewengan dana SRC International.

© Malaysia Gazette



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker