Visa umrah dilanjutkan hingga tiga bulan untuk jemaah semua negara

RIYADH, Arab Saudi – Visa umrah telah dilanjutkan dari satu hingga tiga bulan untuk jemaah umrah dari semua negara, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah, mengumumkan perkembangan terbaharu itu ketika lawatan rasmi dua harinya ke Tashkent, Uzbekistan dan disambut Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev.

Menteri itu menyampaikan salam Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Mohammed Salman kepada Presiden Shavkat dan kerajaan dan rakyat Uzbekistan serta hasrat mereka untuk terus membangunkan Uzbekistan.

Mereka mendoakan kemakmuran kepada Uzbekistan berikutan pembaharuan yang sedang disaksikan republik itu serta menekankan lawatan itu adalah lanjutan daripada hubungan bersejarah yang terbilang antara kedua-dua negara dan menghasilkan beberapa perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perjanjian itu terutama dalam haji dan umrah mencerminkan usaha besar kepimpinan dalam berkhidmat kepada Islam dan umat Islam, serta memudahkan prosedur untuk jemaah haji dan umrah.

Dr Tawfiq berkata, musim haji baru-baru ini menyaksikan penyertaan kira-kira 12,000 jemaah Uzbekistan selepas pihak berkuasa meningkatkan jumlah jemaah berikutan penularan COVID-19.

Katanya, lebih 36,000 orang dari Uzbekistan menunaikan umrah dalam tempoh dua bulan lalu.

Lawatan Dr Tawfiq menyaksikan beberapa pertemuan dengan pelbagai pegawai untuk membincangkan cara meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang dan meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker