Zul Ariffin akan muncul untuk filem seram berjudul Talbis Iblis

Sebut sahaja nama pelakon, Zul Ariffin tentunya kita semua akan membayangkan watak utama lakonannya, baik dalam drama mahupun dalam filem. Apa sahaja genre baik dari karya romantik sehingga seram, semuanya sudah dicuba.

Terbaharu, Zul bakal muncul menerusi filem seram berjudul Talbis Iblis arahan pengarah, Kabir Bhatia. Bezanya, kali ini, kemunculan Zul bukan sebagai tunjang utama, sebaliknya watak kecil yang mengisi beberapa durasi pendek dalam filem itu.

Berkesempatan bertemu Zul baru-baru ini, pelakon berusia 36 tahun itu berkongsi keterujaannya sehingga membuatkan dia sendiri menawarkan diri untuk terbabit sama dalam filem seram itu.

“Saya sendiri yang tawarkan diri untuk terbabit. Asalnya watak Nasir ini umpama orang suruhan atau pembantu kepada watak Junaidah lakonan Nasha Aziz. Sejujurnya, watak ini tidak terlalu banyak muncul kalau berdasarkan skrip. Namun saya tetap meluahkan hasrat saya kepada produksi untuk turut serta,” katanya.

Menurutnya, pihak produksi pada awalnya ragu-ragu untuk membariskan namanya memandangkan watak itu sangat kecil untuk posisinya sebagai pelakon bergred tinggi di Malaysia.

“Pada awalnya, produksi juga ragu-ragu untuk membabitkan saya memandangkan watak ini adalah watak kecil. Saya cakap, boleh saja dan tak ada masalah sebab saya yakin walaupun watak kecil, ia akan jadi pengalaman menyeronokkan.

“Saya lihat beberapa perihal antaranya Nasha yang dah lama tak muncul dalam filem, kemudian ada Azira yang mana saya dah pernah bekerjasama sebelum ini, ada penerbit dan pengarah semua, jadi saya rasa rugi kalau tak terbabit sama.

“Walaupun watak itu adalah watak kecil, pihak produksi mengembangkannya dan saya tahu watak ini ada impak serta potensinya. Yang penting, pasukan produksinya adalah pasukan yang buatkan saya seronok untuk bekerja,” katanya.

Penakut yang sukakan filem seram, itu gambaran yang diberikan Zul kepada dirinya. Namun dia tahu impak filem seram dalam industri perfileman tanah air, sekali gus menarik minatnya untuk terbabit.

“Saya adalah seorang yang penakut, tetapi pada masa sama, saya sukakan filem seram. Sebab saya tahu, filem seram sentiasa ada tempat di hati penonton. Tambahan pula, saya tahu bagaimana kemampuan Kabir dalam mengarah,” katanya.

Tidak hanya hadir ke set untuk menjayakan watak, Zul adalah pelakon yang gemar mencurahkan idea bagi membawa kelainan kepada watak lakonannya.

“Pada saya, sebagai pelakon, kita tak boleh duduk diam. Kena ada perbincangan dan komunikasi dengan pengarah. Kita kena curahkan idea untuk penambahbaikan.

“Selain berlakon, saya turut memberikan idea untuk menambah impak watak Nasir itu, antaranya cukur rambut serta jambang saya dan minta produksi hasilkan solekan kesan khas umpama kulit wajah terbakar.

“Setiap hari saya kena cukur jambang saya sebab kalau tidak, solekan kesan khas itu takkan melekat. Proses solekan juga mengambil masa lama antara tiga hingga empat jam. Tetapi, saya puas kerana itu dapat memberikan sesuatu kepada jalan ceritanya.

“Jadi, watak Nasir membawa kelainan berbanding watak lain yang pernah saya lakonkan sebelum ini,” katanya.

Cukup dikenali sebagai pelakon yang mampu memberikan impak besar kepada sesuatu watak, Zul sentiasa berpegang teguh untuk mengimbangi lakonannya.

“Bagi saya, sebagai pelakon, kita kena tahu bagaimana untuk seimbangkan lakonan kita. Sejak dahulu saya sentiasa berpegang dengan sikap itu.

“Ketika saya berlakon dalam filem Sangkar dengan Remy (Remy Ishak) pun, orang mungkin tak tahu bahawa babak saya adalah dua kali ganda babaknya. Saya ada 120 babak, tapi nampak seimbang dengan babak lakonan Remy.

“Itu tugas kita sebagai pelakon. Kita persembahkan sesuatu lakonan, kena pastikan kita sama-sama nampak bagus. Tak boleh membayangi satu sama lain.

“Untuk Nasha contohnya, dia ada personaliti dan karakter yang kuat. Begitu juga dengan Azira. Jadi, kami semua saling seimbangkan,” katanya.

Rasa cintanya kepada lakonan juga memacu namanya untuk terus kekal berada di set penggambaran serta rangka promosi walaupun sesi penggambaran membabitkannya selesai.

“Babak saya hanya dua minggu, tetapi saya terus berada di set penggambaran sebab saya suka ‘menyemak’ di situ. Kalau masuk set, hari pertama kita baca doa, saya akan berada di situ dan saya nak berada di situ pada hari terakhir juga untuk raikan bersama yang lain.

“Begitu juga rangka promosi. Walaupun filem dah habis, saya tetap terbabit dalam rangka promosi,” katanya.

Terbaharu, Zul kini juga dalam rangka untuk berhijrah ke Makkah, sekali gus mengembangkan perniagaannya.

“Saya akan berhijrah ke sana bagi menguruskan perniagaan mesin layan diri hasil kerjasama saya dengan satu syarikat Singapura.

“Tetapi, saya tetap berulang-alik ke sini memandangkan kerjaya saya juga masih di Malaysia.

“Sekarang, saya masih dalam proses mencari rumah sesuai disamping menguruskan beberapa urusan perpindahan,” katanya.

Selain Zul, Nasha dan Azira, Tablis Iblis turut menyaksikan lakonan hebat Sherie Merlis, Jay Iswazir, Daniella Sya, Amir Nafis dan Izzy Reef dan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 20 Oktober depan.

© Harian Metro 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker