60,000 kaunselor diperlukan untuk tangani masalah mental rakyat

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWK) memerlukan 60,000 kaunselor bagi menampung keperluan semasa dalam membantu menangani masalah kesihatan mental rakyat.

Mereka antara lain berperanan memberi perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial berterusan melalui pelbagai cara dan medium bagi mengurangkan kesan psikologi dialami rakyat, yang ramai terkesan dengan impak penularan COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata sehingga 31 Ogos lalu, KPWKM melalui Lembaga Kaunselor berjaya mendaftarkan 10,136 kaunselor dan akan terus mempertingkatkan usaha untuk menambah bilangannya bagi menampung keperluan semasa.

Antara usaha dilaksanakan bagi tujuan itu, katanya, adalah menambah baik proses pendaftaran kaunselor dengan menerima permohonan dan melaksanakan sesi pengesahan kelayakan kaunselor secara dalam talian.



“Kita turut menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menawarkan program latihan kaunselor di peringkat ijazah pertama dan ijazah sarjana di institusi pengajian tinggi awam serta swasta.

“Kaunselor berdaftar perlu dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai amalan profesional melalui program latihan terancang serta sistematik. Ia bagi memastikan mereka dapat memberi perkhidmatan profesional, terbaik dan beretika kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Presiden Lembaga Kaunselor, Prof Madya Dr Wan Marzuki Wan Jaafar dan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin.



Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan diadakan pada setiap Oktober bertujuan meningkatkan profesion kaunseling di Malaysia, selain mempertingkatkan kesedaran kepada masyarakat umum terhadap kepentingan perkhidmatan kaunseling.

Rina berkata, program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kaunselor, malah ia berupaya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat kepada kepentingan kaunseling sebagai kaedah intervensi yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan individu dan komuniti.

Katanya, KPWKM melalui Lembaga Kaunselor sentiasa menggiatkan usaha perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial secara berterusan bagi mengurangkan kesan psikologi dialami rakyat, bermula pandemik COVID-19.

“Antaranya seperti khidmat sokongan psikologi secara dalam talian dan program sokongan psikososial melalui media elektronik, media cetak serta media sosial. Sepanjang 2021 hingga Jun lalu, sebanyak 64,537 kes intervensi kaunseling dikendalikan agensi bawah KPWKM.

“Kementerian juga mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bertujuan membantu melaksanakan aktiviti dan program pencegahan dalam komuniti serta khidmat kaunseling komuniti sebagai satu budaya dalam kehidupan masyarakat,” katanya.

Katanya, KPWKM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui jawatankuasa yang dibentuk bagi menyalurkan maklumat kepada komuniti untuk menangani kes bunuh diri yang semakin meningkat ketika ini.

“Kementerian turut turun padang bersama kaunselor untuk bertemu rakyat menerusi PSSS,” katanya.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker