Insiden tembakan di sempadan: Seorang anggota PGA maut, seorang lagi parah – Hamzah

fd0660540e1b4125babd810cd27394035facdfe9e0505

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup, manakala seorang lagi cedera parah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan hari ini memaklumkan anggota yang terkorban ialah Kpl Baharuddin Ramli manakala rakan setugasnya, Kpl Norihan a/l Tari cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

“Kerajaan amat memandang serius terhadap kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan itu.

Menteri itu berkata beliau dimaklumkan siasatan awal mendapati kejadian itu bermula apabila dua anggota PGA berkenaan yang sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian diserang oleh dua kumpulan, disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan.

Beliau mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti penjenayah bertanggungjawab menyerang dua anggota PGA itu.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tembak anggota PGA berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan dan sedang dalam perjalanan ke Perlis untuk mengetahui lebih lanjut kejadian itu.

Bernama difahamkan satu sidang media turut akan diadakan polis Perlis berhubung kejadian berkenaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker