Bilangan mangsa banjir di negeri Johor tidak banyak berubah

JOHOR BAHRU – Bilangan mangsa banjir di negeri ini tidak banyak berubah iaitu 114 setakat jam 12 tengah hari pada Selasa berbanding 112 pada sebelah pagi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di dua daerah terjejas iaitu Kluang dan Pontian.

Kluang masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu seramai 75 daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah PPS di daerah itu.

“Di Pontian, seramai 39 mangsa banjir adalah dari Kampung Sri Gambut, Kampung Paya Embun, Kampung Melayu Raya dan Kampung Sri Menanti masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.

“Manakala di Kluang, mangsa banjir dari Kampung Tengah, Renggam dan Kampung Sungai Linau masih ditempatkan di PPS di SK Sri Kampung Renggam dan SK Sungai Linau,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya, kejadian banjir kilat berlaku disebabkan hujan lebat melebihi dua jam pada sebelah pagi, Ahad lalu menyebabkan beberapa buah rumah dinaiki air.

“Berdasarkan imej radar cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi pada jam 9 pagi pada Selasa, tiga daerah diberi amaran ribut petir iaitu Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru,” katanya.

© Sinar Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker