Kanak-kanak 3 tahun maut dipercayai didera pengasuh

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan, maut dipercayai akibat didera ketika di bawah jagaan kenalan bapa kanak-kanak itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kenalan lelaki bapa kanak-kanak itu berusia 28 tahun dan pembantu rumah wanita yang juga warga asing berusia 40 tahun sudah ditahan di kediaman lelaki itu di Taman Mutiara Emas, Skudai, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bapa mangsa mengupah suspek lelaki itu yang juga seorang peniaga itu menjaga dua anaknya sejak tiga bulan lalu kerana pasangan itu bekerja di luar daerah.

Katanya, bapa mangsa bekerja di Singapura manakala isterinya pula bekerja di sektor swasta di Yong Peng, Batu Pahat.

“Bapa mangsa bergegas pulang apabila suspek menghubunginya dan memaklumkan anak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan meninggal dunia di bawah jagaannya, malam kelmarin.

“Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum sepasukan polis menyerbu rumah suspek. Hasil siasatan lanjut, rakan lelaki bapa mangsa juga turut ditahan malam ini.

“Pemeriksaan awal terhadap tubuh kanak-kanak lelaki itu mendapati ada kesan lebam. Mayat kanak-kanak itu akan menjalani bedah siasat esok bagi mengetahui punca kematiannya,” katanya pada sidang media di hadapan rumah suspek, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, suspek diupah menjaga dua anak mangsa iaitu kanak-kanak yang meninggal dunia itu serta adik perempuannya yang berusia setahun, dengan bayaran RM2,800 sebulan.

Katanya, polis sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah suspek selain merampas beberapa barang kes bagi siasatan lanjut.

“Menerusi pemeriksaan polis mendapati suspek lelaki turut mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah.

“Polis beri jaminan akan menyiasat segala aspek bagi memastikan dalang yang menyebabkan kematian kanak-kanak malang itu dibawa ke mula pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan direman esok dan disiasat kerana membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker