Kim Kardashian didenda AS$1 juta kerana promosi mata wang kripto

NEW YORK – Selebriti Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian, didenda AS$1 juta (RM4.65 juta) oleh Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) berhubung promosi mata wang kripto.

Dia yang turut dihalang daripada mempromosikan mata wang kripto selama tiga tahun, akan membayar denda tersebut.

Bayaran itu adalah bagi menyelesaikan kes pendakwaan bahawa selebriti itu mengesyorkan jaminan kripto kepada 330 juta pengikut Instagramnya tanpa menjelaskan bahawa dia dibayar untuk berbuat demikian.

Bintang realiti televisyen itu juga perlu menyerahkan bayaran AS$250,000 (RM1.16 juta) yang diterima bagi hantaran Instagram mengenai token Ethereum Max, termasuk faedah.

Kardashian adalah antara selebriti terbaharu terjerat dalam peraturan yang memerlukan pendedahan penuh oleh individu menerima bayaran untuk mempromosikan produk kewangan.

Pada 2020, pelakon Steven Seagal bersetuju untuk membayar lebih AS$300,000 (RM1.4 juta) sebagai sebahagian daripada penyelesaian dengan SEC, yang turut melarangnya daripada mempromosikan pelaburan itu selama tiga tahun.

Pada 2018, SEC menyelesaikan tuduhan terhadap peninju profesional, Floyd Mayweather Jr dan penerbit muzik, DJ Khaled, kerana gagal mendedahkan pembayaran yang mereka terima untuk promosi pelaburan mata wang digital.

Ramai selebriti dan atlet kerap mempromosikan kripto melalui iklan di televisyen dan secara dalam talian dengan cara yang sah.

Matt Damon, Tom Brady, Reese Witherspoon dan Gwyneth Paltrow antara mereka yang menggunakan kemasyhuran mereka untuk memanfaatkan keterujaan untuk mata wang kripto.

Pengerusi SEC, Gary Gensler, dalam kenyataannya, berkata penyelesaian Kardashian ‘berfungsi sebagai peringatan kepada selebriti dan orang lain bahawa undang-undang memerlukan mereka mendedahkan kepada umum bila dan berapa bayaran diterima untuk mempromosikan pelaburan dalam sekuriti’.

Gensler juga menggunakan penyelesaian itu sebagai peluang untuk mendidik orang ramai dengan mengeluarkan video jenaka di YouTube yang memberi amaran mengenai kemungkinan perangkap nasihat pelaburan yang diberikan oleh orang kaya dan terkenal.

SEC berkata Kardashian bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan yang sedang dijalankan, walaupun dia tidak memberikan sebarang butiran terperinci mengenai siasatan itu.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker