Lapan warga Afrika ditahan dipercayai bunuh rakan senegara



KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan individu termasuk dua wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan mengakibatkan seorang lelaki warga Afrika meninggal dunia di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat jam 5.35 pagi tadi, mengenai tiga lelaki warga Afrika cedera dipercayai akibat pergaduhan menerima rawatan di wad kecemasan di sebuah hospital swasta.

Beliau berkata, pihak polis dimaklumkan bahawa seorang daripada tiga lelaki terbabit berusia 32 tahun meninggal dunia ketika diberikan rawatan di hospital.

“Hasil siasatan dilakukan pihak polis mendapati, mangsa dan rakannya bergaduh dengan sekumpulan lelaki warga Afrika.



“Pergaduhan itu mengakibatkan mangsa parah dengan kesan luka akibat tetakan di belakang leher,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashari berkata, pihaknya menahan enam lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 26 hingga 40 tahun untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

BHOnline





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker