Liverpool, Klopp makin hilang taring?

LONDON: Ramai yang tidak gembira dengan ramalan Juergen Klopp pada musim panas lalu namun ada kemungkinan apa yang diluahkannya itu benar. Liverpool kini terpaksa menyesuaikan diri dengan realiti baharu.

Keputusan seri 3-3 dengan Brighton, Sabtu lalu menyebabkan Liverpool berdepan tugas getir mengenai prospektif untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), ketika satu lagi kelemahan benteng pertahanan menyaksikan The Reds melakukan kesilapan yang sudah beberapa kali ditonton setakat ini musim ini.

Klopp nyata gagal mengemudi Liverpool dengan baik pada kempen musim 2022-23. Rehat susulan aksi antarabangsa memberikan sekelumit keyakinan mereka mampu bangkit ketika beberapa pemain utama kembali ke tahap kecergasan terbaik namun selepas satu lagi peluang disia-siakan, mungkin ada benarnya mengenai komen Klopp berkenaan objektif musim ini.

Bercakap sebelum aksi Perisai Komuniti menentang Manchester City, komen pengurus Liverpool itu menyebabkan sesetengah peminat kecewa apabila beliau menyatakan kelab itu menyasarkan untuk berada dalam kelompok empat teratas musim ini.



Perbezaan ketara dari segi pelaburan menyaksikan Klopp tidak mengalami apa yang dinikmati Pep Guardiola, tetapi ketika ia tidak menjadi isu besar dalam mencabar kejuaraan dalam beberapa musim terdahulu, permulaan lembap kali ini mungkin menjadi bukti mengenai pelaburan pemain.

Sudah tentu, Darwin Nunez bukanlah satu pelaburan yang murah tetapi selepas gagal sekurang-kurangnya menyamai permulaan baik dilalui Erling Haaland di Stadium Etihad, masalah Liverpool kelihatan berlipat ganda.

Selain bergantung kepada skuad musim lalu bagi kesebelasan utama, Klopp juga menghadapi pelbagai masalah kecederaan.

Jordan Henderson kelihatan menyinar ketika kembali ke dalam kesebelasan utama menentang Brighton pada Sabtu, manakala Diogo Jota hanya mampu tampil sebagai pemain gantian selepas beraksi bersama Portugal ketika aksi antarabangsa.

Kedua-dua bintang itu mampu mengukuhkan cabaran skuad bulan ini namun ia tidak banyak membantu menangani isu benteng pertahanan yang berlaku berulang kali dan bagaikan satu kebiasaan pula.

Liverpool melepaskan gol pertama dalam 12 daripada 15 perlawanan terakhir mereka dan nampaknya beberapa pemain beraksi di bawah tahap sebenar.

Fabinho dan Virgil van Dijk muncul dua daripada pemain terbaik dalam era Klopp, tetapi kedua-duanya kelihatan jauh tersasar daripada kehebatan sebenar mereka dengan Van Dijk mencetus gol penyamaan Brighton selepas gagal menangani hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

Ketika Klopp dan pembantunya Pep Lijnders cuba mengkaji dan menambah baik apa yang berlaku setakat ini, realitinya kini mereka mungkin terpaksa melupakan seketika impian terdahulu untuk mencabar kejuaraan yang kini diungguli Arsenal dan Manchester City.

Sekalipun bos Liverpool itu mungkin berusaha untuk melayakkan diri ke kancah bola sepak Eropah terlebih dahulu sebelum memfokuskan kepada kejuaraan, tanggapan mengenai perkara itu tetap sama.

Setakat ini, Liverpool hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan EPL mereka selain seri empat kali untuk menghuni tangga kesembilan namun hakikatnya anda perlu melakukan margin kesilapan yang minimum apabila bertemu pasukan yang mempunyai purata 91.6 mata semusim sepanjang lima musim EPL terakhir.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker