Mane tak dapat lupakan Liverpool

London: Sadio Mane berkata dia tidak dapat melupakan detik bersama Liverpool sebelum berpindah ke Bayern Munich pada jendela perpindahan baru-baru ini.

Mane menyertai Reds dari Southampton pada 2016 dan menikmati enam tahun cemerlang di kelab itu dengan memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Pemain berusia 30 tahun itu kini beralih angin di Bundesliga, namun kenangan beraksi bersama Liverpool tidak mungkin dapat dilupakannya.



“Jujurnya kenangan itu sentiasa hidup dalam diri ini dan ia tidak akan dapat saya lupakan,” kata Mane kepada UEFA.com.

“Saya banyak belajar sebagai seorang lelaki dan pemain bola sepak. Penyokong Liverpool menakjubkan. Begitu juga masyarakatnya. Ia kelab yang kekal dalam hati saya selamanya.

“Ia juga kelab legenda, mereka menjuarai segalanya dan paling diingati sudah tentu final Liga Juara-Juara (UCL).”

Mane mengimbau Liverpool menewaskan Tottenham pada final UCL 2019 di Madrid: “Gol kedua Divock Origi sangat baik. Saya seperti berada di bulan. Sukar saya percayainya.



“Saya terkenang zaman kanak-kanak ketika menonton aksi Liga Juara-Juara dan saya telah pun berada di final dan paling penting muncul juara.

“Ia malam yang hebat, 2019 tahun ajaib. Kami berpesta dan saya fikir hampir setengah juta orang memenuhi jalan raya untuk meraikan kami. Sangat indah.”

Bagaimanapun, pemain Senegal itu berdepan prestasi tidak menentu pada awal musim bersama Bayern setakat ini.

Dia meledak tiga gol dalam tiga perlawanan pertama tetapi kemarau jaringan dalam lima perlawanan selepas itu dan hanya kembali menggegar gawang lawan ketika membelasah Bayer Leverkusen Jumaat lalu.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button