Gaji Lim Guan Eng cecah RM5.4 juta

 

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, jumlah pendapatan Lim Guan Eng ketika berjawatan Ketua Menteri Pulau Pinang mencecah RM45,000 sebulan sepanjang 10 tahun perkhidmatannya sejak tahun 2008.

RM45,000 x 12 bulan = RM 540,000.00 setahun

RM540,000.00 x 10 tahun = RM5,400,000.00

Bekas Timbalan Pengarah Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang (UPEN), Mohd. Farulizam Che Meh berkata, ketika memegang jawatan itu, gaji hakiki Guan Eng sebanyak RM14,175 manakala jumlah elaun yang diperolehinya pula sebanyak RM30,200 untuk tempoh sebulan.

Saksi pendakwaan ke-20 itu berkata, Guan Eng, 61, bagaimanapun turut mengisytiharkan harta dan pendapatan sampingan beliau dalam portal web Pulau Pinang.

Lim Guan Eng-SPRM

Ujar Mohd. Farulizam, Guan Eng yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 11 Mac 2008 dan memegang jawatan itu sehingga 14 Mei 2018 turut mendapat pencen kira-kira RM20,000.

Menurut saksi, Guan Eng yang juga menjalankan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut mendapat elaun sebanyak RM5,500.

Beliau menyatakan demikian ketika membacakan kenyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Guan Eng berkaitan projek terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Saksi berkenaan bagaimanapun tidak disoal balas oleh pihak pembelaan ketika memberi keterangan pada prosiding tersebut.

Mohd. Farulizam merujuk kepada dokumen surat perakuan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertajuk `Perakuan Tentang Kedudukan Atau Jawatan Yang Dipegang Oleh YB Lim Guan Eng bertarikh 3 Julai 2020.’

Ujarnya, dokumen itu dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang dipohon di bawah Seksyen 55(1) Akta SPRM 2009.

Saksi juga merupakan bekas Ketua Penolong Setiausaha Kanan bagi Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana antara tugas beliau termasuk menyelaraskan dan menguruskan gaji, elaun dan kemudahan Ketua Menteri, Exco dan ADUN.

Ujarnya, sebagai Ketua Menteri, Guan Eng tidak boleh memegang apa-apa jawatan berpendapatan dan tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial atau tidak boleh memiliki dan memegang apa-apa jawatan dalam syarikat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi didengar tanpa kehadiran Guan Eng selama dua hari berturut-turut kerana tertuduh dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak Ahad lalu bagi menjalani satu prosedur perubatan keesokan harinya.

Peguam Haijan Omar bagaimanapun memaklumkan, anak guamnya sudah dibenarkan keluar dari IJN dan bersedia untuk menghadiri perbicaraan esok.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai berbilion ringgit.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah CZBUCG yang dilantik sebagai kontraktor bagi projek berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.

-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker