Najib dibenarkan hadir perbicaraan saman sivil RM1.9 juta ke atas Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini, membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Razak menghadiri perbicaraan berkaitan saman sivil RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas pada 21 Oktober ini.

Hakim Datuk Ahmad Bache memutuskan Najib selaku plantif mempunyai hak untuk mendengar kes sivilnya.

“Jika perbicaraan kes jenayah, perintah untuk mengemukakan mungkin boleh dibuat. Ia (permohonan pembatalan) mungkin bersifat interlokutori.

“Mahkamah ini setuju dengan permohonan kamu, mahkamah benarkan perintah seperti dimohon,” katanya menerusi prosiding secara dalam talian semalam.

Pada 21 Oktober ini, mahkamah dijadualkan untuk menyambung mendengar permohonan Tommy untuk membatalkan saman Najib.

Pada awalnya, peguam Najib, Yudistra Darma Dorai menyatakan mahkamah mempunyai kuasa untuk membenarkan permohonan exparte oleh anak gumannya, yang ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang bagi menghadiri perbicaraan mahkamah mengikut Seksyen 30 Akta Penjara.

Seksyen 30 menyatakan apabila masa kehadiran seorang banduan dikehendaki dalam sesuatu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sivil atau jenayah, mahkamah itu boleh mengemukakan suatu perintah dalam bentuk yang ditetapkan dialamatkan kepada Pegawai yang Menjaga yang menghendaki pengemukaan banduan itu pada masa dan tempat dinyatakan dalam perintah.

Pada 22 Oktober 2021, Najib memfailkan saman mendakwa pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang dirancang lebih awal oleh Tommy dan selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Najib, 69, mendakwa dia dituduh secara salah di mahkamah dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan pengubahan wang haram mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau memohon pengisytiharan bahawa Tommy melakukan penyelewengan dalam jawatan awam dan ganti rugi RM1.9 juta, termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta bagi menangani pendakwaan terhadapnya.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker