Pasukan pendakwa perbicaraan kes 1MDB dipersoal oleh peguam Shafee Abdullah



KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan perbicaraan 1Malaysia Development Malaysia (1MDB) hari ini dipersoal mengapa pihaknya tidak pernah mendedahkan lima surat daripada keluarga diraja Arab Saudi yang telah menderma berbilion kepada Datuk Seri Najib Razak.

Surat-surat itu secara terang-terangan telah mendedahkan secara terperinci butiran derma yang diberikan kepada Najib selaku Perdana Menteri yang memerintah sebuah negara berbilang kaum dengan ajaran Islam secara sederhana dan bukan ekstremis.

Lebih mengejutkan apabila surat-surat itu juga telah dicop oleh Ambank yang telah mengambil maklum tentang kemasukan wang derma berkenaan yang telah dibayar kepada Najib dalam matawang Amerika Syarikat (AS) dan juga pound sterling sekitar tahun 2011.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetahui prosiding pembelaan hari ini hairan mengapakah pendakwaan tidak mendedahkan tentang derma-derma yang mencecah RM2.3 bilion.



“Khabar angin mendakwa anak guam saya telah menerima derma Arab, akhirnya terbukti dengan pendedahan dokumen-dokumen dan surat bukan sahaja dari keluarga diraja Arab sebaliknya daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang menyebut tentang derma ini.

“Najib dari awal lagi sentiasa menyebut tentang wang derma ini, akhirnya hari ini terbukti ada benarnya. Beliau telah menerima derma beratus juta dolar dari Arab selama ini dan bukannya menyeweleng dana 1MDB.

“Kita telah serahkan surat-surat ini kepada mahkamah sebagai bukti. Derma ini juga tidak ada kaitan dengan dana SRC International. Mengapa dokumen ini tidak didedahkan oleh pendakwaan? Yang mereka maklumkan kepada mahkamah hanyalah dua dokumen transaksi derma berkaitan Putera Faisal Al Saud.

“Mengapa lima lagi surat berkaitan derma ini kepada Najin oleh Kerajaan Arab Saudi tidak dikemukakan kepada mahkamah.



”Sedangkan surat-surat ini telah diberikan sebagai rujukan kepada Ambank malah ianya juga telah diserahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh Ambank sendiri.

“Ada empat dokumen yang juga telah kita kepilkan kepada media hari ini, penderma yang telah menderma itu, bekas Gabenor Provinsi Madinah, Abdulaziz bin Majid Al Saud bukan sahaja telah mengutus surat kepada Najib menerangkan tentang derma malah beliau juga telah memberikan satu lagi surat kepada bank Ambank sebagai rujukan.

“Ambank telah terima dan mengecop surat-surat derma itu,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.

Untuk makluman, dalam surat itu menyebut bahawa kerabat diraja Arab Saudi menghargai peranan Najib selaku pemimpin Islam moden ketika berjawatan Perdana Menteri.



Malah Najib dipuji kerana memperkenalkan Malaysia ke mata dunia terutama selepas tanggapan global diberikan ekoran tragedi 9/11.

Abdulaziz juga menegaskan derma berkenaan hanya hadiah dan akan dimasukkan ke dalam akaun Najib pada bila-bila masa yang bersesuaian dan bekas Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk menentukan bagaimana ia hendak digunakan.

Surat-surat itu juga menyebut Abdulaziz berhasrat menghadiahkan wang tunai berjumlah AS$375 juta yang akan disalurkan daripada akaun peribadinya (Abdulaziz) manakala surat kedua pula yang bertarikh 1 Mac 2013 Abdulaziz akan menghadiahkan AS$800 juta daripada akaun peribadinya melalui akaun syarikat Tanore Finance Corp.

Selain itu, satu lagi surat dari Abdulaziz menyebut pihaknya mahu memberikan derma sebanyak $50 juta pound sterling pada 1 Jun 2014.



Kata Muhammad Shafee lagi, seandainya wang-wang itu dicampur jumlahnya hampir RM2.3 bilion dan Najib boleh menggunakan dana itu bagi terus mempromosi Islam.

“Untuk pengetahuan anda juga, ini memang pelik sekali kerana walaupun derma itu memberikan Najib kebebasan untuk digunakan olehnya namun sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-13, beliau telah memulangkan lebih AS$600 juta dikembalikan kepada Arab Saudi.

“Mengikut fahaman saya, hanya sekitar RM300 juta telah digunakan oleh Najib bagi PRU-13 itu, saya mungkin salah juga dengan angka ini tetapi lebih kurang itulah. Baki lain telah dipulangkan.

“Pencuri mana curi duit kemudian pulang balik wang derma?,” soal beliau.

Najib ketika ini sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

© Malaysia Gazette



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker