Pelaksanaan peruntukan undang-undang YB dilarang tukar parti ditangguhkan

Pelaksanaan peruntukan mengenai larangan Ahli Parlimen bertukar parti ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Santubong itu berkata, pelaksanaan, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 itu tertakluk pada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, akta yang dikenali sebagai Akta A163 itu telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda pada 31 Ogos 2022 dan telah diwartakan pada 6 September 2022.

Wan Junaidi berkata, Seksyen 1(3), Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 [Akta A1663] memperuntukkan bahawa: “Walau apapun subseksyen (2), seksyen 6 akta ini mula berkuat kuasa di sesuatu negeri pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, melalui pemberitahuan dalam Warta.



“Oleh yang demikian, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI boleh menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa peruntukan seksyen 6 Akta A1663 dengan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua negeri, bagi negeri yang berkenaan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Cha Kee Chin (PH – Rasah) yang mahu mengetahui status terkini daripada respons daripada setiap kerajaan negeri terhadap undang-undang Anti-Lompat Parti, selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Kee Chin juga mahu mengetahui senarai negeri-negeri yang ada pandangan yang tidak selaras dengan Parlimen atau tidak bersetuju dengan pindaan yang seumpamanya terhadap Perlembagaan Negeri dan alasan-alasan yang diberikan.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, menerusi pindaan tersebut, Dewan Undangan Negeri boleh meluluskan pindaan kepada Perlembagaan negeri masing-masing yang melibatkan peruntukan seksyen 6(5) dan seksyen 7A Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.



“Berdasarkan penjelasan ini, penetapan tarikh permulaan kuat kuasa pemakaian seksyen 6 Akta A1663 di peringkat negeri adalah tertakluk kuat kuasa Akta A1663 di peringkat Persekutuan.

“Bagi maksud ini, beberapa buah negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menyambut baik cadangan pelaksanaan akta ini di peringkat negeri,” katanya lagi.

© Astro Awani 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker