Pelantikan syarikat pembangun MySejahtera tidak ikut prosedur perolehan

KUALA LUMPUR – Pelantikan KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera adalah tidak teratur serta tidak berlandaskan prosedur perolehan kerajaan.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya berkata, tiada sebarang minit ataupun dokumen sokongan yang wujud berkenaan dengan pelantikan berkenaan.

Malah, satu-satunya dokumen adalah NDA yang ditandatangani antara MKN (bagi pihak kerajaan) dengan KPISoft.



Selain itu, PAC mendapati harga siling sebanyak RM196 juta untuk perolehan MySejahtera selama dua tahun adalah tinggi dan bercanggah dengan konsep syarikat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dapatan itu adalah dua daripada lapan rumusan PAC hasil daripada dua prosiding yang dijalankan berhubung pengambilalihan MySejahtera iaitu pada 14 April dan 21 April 2022 yang mana antara saksi dipanggil ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Antara dapatan lain, CSR dilihat digunakan untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya.

Terdahulu, pihak kerajaan sebelum ini telah memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalah guna.



Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, aplikasi berkenaan adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama bagi pengurusan kesihatan awam negara sejak ia diputuskan pada 26 November tahun lalu.

Malah, kerajaan turut menegaskan ia adalah pemilik aplikasi MySejahtera, namun syarikat pembangun aplikasi tersebut, KPISoft (Entomo) didapati membuat perakuan bahawa ia pemilik harta intelek aplikasi MySejahtera.

Malah, setakat April 2022, aplikasi MySejahtera masih dimiliki syarikat pembangun aplikasi dan kerajaan masih belum mendaftarkan harga intelek (IP) bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO.

Dalam hal ini, PAC mengesyorkan beberapa langkah yang perlu diambil kerajaan iaitu menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus dan Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) harus mengambil alih keseluruhan aplikasi.



Ini kerana menurut Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, MAMPU sebagai Jabatan Teknikal ICT dilihat berupaya mengambil alih pembangunan dan pengoperasian aplikasi MySejahtera.

“Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih berhemat dalam segala proses perolehan. Segala tawaran melalui CSR adalah dialu-alukan. Bagaimanapun, terma-terma berkenaan dengan tawaran CSR harus dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh dijadikan sebagai jalan alternatif untuk rundingan terus. Garis panduan hendaklah diwujudkan untuk tadbir urus tawaran CSR,” katanya.

Syor lain yang turut dinyatakan PAC juga adalah kerajaan harus memiliki aplikasi MySejahtera sepenuhnya dan memastikan data pengguna tidak disalah guna oleh mana-mana pihak.

Secara dasar, PAC menjelaskan aplikasi MySejahtera dijadikan alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.



Berikutan itu, tindakan kerajaan menolak cadangan pengkomersialan adalah wajar demi melindungi keselamatan data pengguna.

Dalam pada itu, PAC turut mengesyorkan kerajaan lebih berhemah dalam proses perolehan dan mewujudkan garis panduan bagi tadbir urus CSR.

© Utusan Online 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button