‘Pindah-randah’ bila hujan tiba

Kuala Krai: Melihat keadaan sebuah rumah usang serba daif, tiada siapa yang menyangka ia ‘syurga’ bagi ibu tunggal bersama empat anak untuk berteduh.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan lantai rumah pusaka didiami lima beranak itu reput dan ada yang berlubang, sekali gus mendedahkan penghuninya kepada risiko terjatuh selain dimasuki binatang berbisa, malah tiada kemudahan tandas dan dapur selesa.

Menurut Cik Esah Yusoff, 49, walaupun lantai rumah reput dan berlubang serta dinding di makan anai-anai selain bumbung rumah bocor, dia tidak mampu membaiki kerosakan itu kerana tiada sumber kewangan.

“Apabila hujan lebat, saya dan anak berpindah ke kawasan tidak bocor dan memeluk mereka apabila angin kencang dan ribut kerana masing-masing ketakutan apatah lagi rumah uzur dan menunggu masa menyembah bumi.

“Dalam masa sama, saya guna air tandak daripada bukit untuk mandi, minum, memasak serta mencuci pakaian hampir setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Durian, Dabong.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas.

Cik Esah berkata, selepas kehilangan suami, Zainudin Seman Oktober tahun lalu akibat Covid-19, kini dia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga untuk membesarkan empat anaknya yang berusia di antara 10 hingga 23.

“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, saya dibantu dua anak ambil upah menoreh getah dengan pendapatan RM15 sehari namun sejak lebih seminggu lalu kami tidak dapat keluar menoreh disebabkan cuaca hujan.

“Keadaan itu menyebabkan saya tiada pendapatan serta tidak mampu menyediakan hidangan lauk atau sayur seperti orang lain dan untuk mengalas perut kami anak beranak hanya mampu makan nasi kosong digaul minyak ikan goreng dan budu.

“Mujur anak faham erti kesusahan dan mereka tidak pernah merungut apabila saya tidak dapat menyediakan apa yang mereka inginkan, sebaliknya ringan tulang membantu meringankan beban keluarga.

“Ada masanya kami mengharap belas ihsan orang lain apabila terputus bekalan makanan dan tiada wang untuk membeli keperluan dapur,” katanya.

Katanya, disebabkan kekangan kewangan selain pengangkutan, dia tidak mampu membawa anak ketiganya, Che Mohamad Saimrie Zainudin, 20, yang mempunyai masalah penglihatan sejak lahir mendapatkan rawatan di hospital berdekatan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Che Esah bernombor, 0350141700078805 atau boleh menghubungi talian, 017-9695148.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker