PPBM akan tawarkan Zaharin jawatan dalam parti?
Zaharin lebih berkredibiliti daripada Bard
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Jumaat lepas, Umno menerusi keputusan MKT telah memecat Zaharin Md Yassin dari parti berikutan pelanggaran Perlembagaan Parti yang telah dilakukannya.
Selepas itu, bermulalah serangan Zaharin terhadap Umno khususnya Presiden Umno, Zahid Hamidi menerusi media sosial.
Dalam diam, difahamkan PPBM berminat untuk mengambil Zaharin menjadi sebahagian daripada jentera mereka di pusat.
Menurut sumber dalaman PPBM yang boleh dipercayai, tawaran tersebut akan disampaikan kepada Zaharin dalam tempoh terdekat dan beliau dijangkakan bakal menggantikan tempat Che’Gu Bard dalam PPBM.
Ini berikutan kegagalan Che’Gu Bard melaksanakan propaganda secara konsisten dan mendatangkan impak dalam setiap serangan PPBM terhadap Umno. Walau Bard cuba membuktikan kemampuannya, sumber menyatakan pihak atasan masih kurang berpuashati dengan pencapaiannya.
Sumber tersebut menambah lagi mengapa PPBM mahukan Zaharin dalam jentera mereka.
Zaharin yang terkenal banyak mengetahui apa yang kononnya ‘rahsia’ pemimpin Umno akan diminta membuat pendedahan berterusan dan menerangkan strategi Umno dalam Pilihanraya.
Ini akan membolehkan PPBM ‘melumpuhkan’ segera pergerakan Umno/BN dari memenangi PRU15.
Ini sangat penting di waktu kritikal menjelang pembubaran Parlimen bagi membolehkan PPBM menyusun atur pergerakan jentera serta strategi bagi menyerang Umno/BN.
Sudah tentu sebagai seorang yang terkenal dengan sikap lantang dan terbuka, Zaharin adalah individu paling tepat untuk PPBM. Berkaitan imbuhan yang bakal diterima Zaharin tidak diketahui namun dipercayai cukup lumayan apatah lagi jika beliau menggantikan Bard di pusat.
Sebagai rekod, Zaharin merupakan bekas ahli Umno Bandar Tun Razak dan berpengalaman puluhan tahun didalam Umno serta mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Umno.