Putera Saudi kebal daripada pendakwaan



WASHINGTON, Amerika Syasikat – Peguam Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, yang berdepan tuntutan mahkamah Amerika Syarikat (AS) berhubung pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi, mempunyai kekebalan daripada pendakwaan.

Peguam baginda menjelaskan, kekebalan itu diperoleh secara langsung selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri minggu lalu.

Khashoggi didakwa dibunuh oleh ejen Arab Saudi di kedutaannya di Istanbul dalam operasi yang dikatakan diarahkan oleh Putera Mohammed.

Baginda adalah pemerintah de facto kerajaan Arab Saudi selama beberapa tahun.



Putera Mohammed bagaimanapun menafikan bahawa baginda mengarahkan pembunuhan Khashoggi, namun kemudian mengakui ia berlaku ‘di bawah pengawasannya’.

Minggu lalu, Raja Salman melantiknya sebagai perdana menteri dalam titah Diraja yang menurut seorang pegawai Arab Saudi, adalah selaras dengan tanggungjawab dilaksanakan oleh putera mahkota itu sekarang.

“Perintah Diraja tidak meninggalkan keraguan bahawa Putera Mahkota berhak mendapat imuniti berdasarkan status,” menurut peguam Putera Mohammed dalam petisyen yang meminta mahkamah menolak kes itu.

Beliau turut memetik kes lain di mana AS mengiktiraf kekebalan untuk ketua negara warga asing.



Julai lalu, Presiden AS, Joe Biden, mengadakan lawatan ke Arab Saudi bagi membincangkan isu tenaga dan keselamatan serta memberitahu Putera Mohammed bahawa Biden menganggapnya bertanggungjawab atas pembunuhan Khashoggi.

Biden berkata Putera Mohammed menafikan pembabitannya dan menegaskan mereka yang bersalah sudah dipertanggungjawabkan.

Khashoggi, yang mengkritik dasar putera mahkota dalam ruangan Washington Post, dibunuh dan dikerat di konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Beliau ke sana untuk mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk berkahwin dengan Hatice Cengiz, seorang warga Turki.



Tuntutan itu difailkan bersama oleh Cengiz dan kumpulan hak asasi manusia yang diasaskan oleh Khashoggi bagi menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan terhadap putera mahkota, yang dikenali di Barat sebagai MbS.

Ia turut menamakan lebih 20 warga Saudi lain sebagai defendan bersama.

Ia mendakwa bahawa MbS dan defendan bersama serta yang lain melakukan komplot untuk ‘mendiamkan Khashoggi secara kekal’ selepas mendapati beliau merancang untuk menggunakan kumpulan itu sebagai ‘pentas untuk menyokong reformasi demokrasi dan mempromosikan hak asasi manusia’.

Mahkamah meminta Jabatan Kehakiman (DOJ)AS untuk menyatakan pandangannya, sama ada Putera Mohammed mempunyai imuniti dan menetapkan semalam untuk maklum balas.



Selepas pelantikan putera raja sebagai perdana menteri minggu lalu, jabatan itu berkata ia memohon lanjutan 45 hari untuk menyediakan jawapannya kepada mahkamah ‘berdasarkan perubahan berubah ini’.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker