Raysha Rizrose sedang bercinrta dengan pelumba Formula 3



Biarpun kurang berkongsi kisah peribadinya terutama percintaan, pelakon jelita, Raysha Rizrose, 26 tahun, sentiasa mengakui hatinya sudah pun dimiliki seseorang.

Tidak juga berselindung gerangan jejaka yang berjaya menawan hatinya, Raysha menjelaskan dia sudah berkenalan dan bercinta dengan pelumba kereta Formula 3, Nabil Jeffri, 29, sejak 10 tahun lalu.

Bersua dengannya yang dilantik sebagai ‘muse’ pada acara pratonton koleksi RR Bridal RTW 22 oleh pereka fesyen, Rizman dan Ruzaini baru-baru ini, Raysha terbuka berbicara soal perkahwinan.

Masih dalam perancangan, adik kepada pelakon Uqasha dan Nelydia Senrose ini berkata, walaupun kekasihnya sudah bersedia membawa hubungan mereka ke fasa perkahwinan, tapi dia enggan terburu-buru.



“Kalau ikutkan Nabil, dia okey saja nak kahwin sebab dah bersedia. Cuma, tunggu keputusan saya saja dan buat masa ini, kami hanya merancang dulu. Lagi pula, masih ada yang belum saya capai dalam karier.

“Jadi, saya sebolehnya mahu mengejar impian dalam karier sebelum berumah tangga. Tapi, pada masa sama saya tahu, usia makin meningkat dan sekarang masanya untuk mula berfikir mengenai fasa perkahwinan.

“Apatah lagi, saya dipilih pula menjadi ‘muse’ untuk koleksi RR Bridal RTW 22 ini yang saya anggap mungkin sudah ‘hint’ untuk membuat perancangan perkahwinan yang serius,” katanya.

Menurut pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin dan Ex Aku Pontianak ini, dia teruja menggalas tanggungjawab dan kepercayaan diberi Rizman serta Ruzaini untuk koleksi busana perkahwinan mewah, tapi mampu milik itu.



“Saya amat berterima kasih dengan Rizman dan Ruzaini di atas kerjasama ini. Saya gembira untuk melakukannya kerana amat yakin dengan koleksi sentuhan mereka. Lagi pula, busana ini sesuai dipakai dalam pelbagai acara dan majlis yang dihadiri.

“Tidak hanya terikat sebagai busana perkahwinan saja. Malah, padanan warna putih dan ungu lembut dipilih juga nampak elegan dan cantik. Saya yakin dengan harga berpatutan ditetapkan, golongan wanita yang membeli pasti berpuas hati,” katanya.

Raysha berkata dia juga sebenarnya merancang untuk menggayakan busana rekaan Rizman dan Ruzaini pada majlis pernikahan dan resepsinya nanti. Katanya, dia memang sudah lama tertarik dan berminat dengan rekaan pereka terkenal itu.

Berbicara juga mengenai kisah percintaannya yang bertahan lama sehingga ‘sedekad’, Raysha berkata dia bersama Nabil saling memahami tuntutan karier masing-masing dan terus menyokong. Ujarnya, mereka juga bertindak matang.



“Seperti pasangan bercinta lain, kami pun ada melalui situasi bergaduh dan merajuk. Tipulah, kalau hubungan selama 10 tahun, langsung tidak pernah bermasalah. Kami ada juga merasainya (bergaduh dan merajuk).

“Tapi, tak pernah lamalah. Kalau pernah putus pun, hanya sekali saja dan selama empat bulan bawa haluan masing-masing. Namun, selepas Nabil memujuk dan kami menerima kemaafan masing-masing, akhirnya berbaik semula.

“Apapun, kepercayaan terhadap pasangan dan hubungan dijalin amat penting. Ditambah, saya dan Nabil lebih kerap melalui ‘perhubungan jarak jauh’ kerana dia sering berada di luar negara menyertai perlumbaan kereta,” ujarnya.

Raysha berkata dia juga cuba tidak bersikap terlalu cemburu dan lebih memberi fokus kepada kesibukan karier sebagai pelakon. Jelasnya, dia bersyukur apabila jadual kerjanya padat dan banyak tawaran berlakon diterima.



“Alhamdulillah, bakat lakonan saya diterima baik. Malah, tawaran ‘back to back’ diperoleh membuatkan tumpuan saya memang pada karier saja. Ini kerana, saya harus memberikan komitmen yang utama terhadap projek kerja diambil,” katanya.

Kini berehat seketika daripada lakonan, Raysha berkata dia ada menerima beberapa tawaran baharu yang perlu dipertimbangkan. Jelasnya, dia lebih teliti dalam membuat penilaian, terutama pada watak yang sesuai.

© Harian Metro



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker