400 website pedofilia, pornografi kanak-kanak sudah disekat

Kuala Lumpur: Sebanyak 400 laman sesawang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak sudah disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) setakat Ogos lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tindakan itu hasil kerjasama kementerian berkenaan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC.

“Kementerian bekerjasama untuk mengukuhkan dan memperkasakan (penguatkuasaan) iaitu dengan kerjasama rapat PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) terutama berkaitan dengan siber,” katanya pada sesi soal jawab hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berhubung usaha kementerian bagi mengatasi masalah eksploitasi seksual kanak-kanak di alam maya disebabkan lambakan pelbagai aplikasi tidak bermoral dalam talian.



Siti Zailah berkata, kementerian mengambil pendekatan melaksanakan program advokasi, pencegahan, intervensi dan perkhidmatan sokongan sosial bagi mencegah jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata, ia termasuk melaksanakan Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat yang membabitkan kanak-kanak seluruh negara serta memperkasakan peranan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) untuk mempromosi dan menyampaikan maklumat berkaitan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak kepada komuniti setempat.

Selain itu, katanya, kementerian juga sudah bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik dan aktivis sosial untuk membangunkan Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Dunia Siber (PTCOP).

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker