Angela Merkel terima Anugerah Nansen PBB

GENEVA, Switzerland – Bekas Canselor Jerman, Angela Merkel hari ini memenangi Anugerah Nansen, iaitu pengiktirafan berprestij daripada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

Beliau turut menerima pujian atas kesungguhannya melindungi pencari suaka sepanjang perkhidmatannya dengan agensi itu.

Ia merujuk kepada lebih 1.2 juta pelarian dan pencari suaka yang dialu-alukan oleh Jerman pada 2015 dan 2016, pada kemuncak krisis pendatang yang dicetuskan terutama ketika perang di Syria, jawatankuasa pemilihan UNHCR memuji ‘kepimpinan, keberanian dan belas kasihan’ Merkel.

Pada ketika itu, pemimpin wanita yang mengetuai kerajaan Jerman selama 16 tahun itu berkata, situasi terbabit ‘menguji keteguhan nilai Eropah yang jarang berlaku sebelum ini. Ia tidak lebih dan tidak kurang daripada keperluan kemanusiaan’.

Sementara itu, Ketua UNCHR, Filippo Grandi memuji sikap dan keazaman Merkel untuk melindungi pencari suaka dan mempertahankan hak asasi manusia, prinsip kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

“Dengan membantu lebih sejuta pelarian untuk terus hidup dan bangkit semula, Angela Merkel mempamerkan keberanian moral dan politik yang hebat.

“Ia adalah kepimpinan yang benar, merayu nilai kemanusiaan biasa masyarakat, berdiri teguh menentang mereka yang menyebarkan ketakutan dan diskriminasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau juga menunjukkan apa yang boleh dikecapi apabila ahli politik bertindak secara betul dan berusaha mencari penyelesaian kepada cabaran dunia daripada mengalihkan tanggungjawab itu terhadap pihak lain.

Jawatankuasa pemilihan menekankan, selain melindungi orang yang terpaksa melarikan diri daripada situasi perang, Merkel adalah penggerak di sebalik usaha kolektif Jerman untuk menerima mereka dan membantu mereka berintegrasi ke dalam masyarakat.

Anugerah Nansen dipilih setiap tahun dan sejak diwujudkan pada 1954 sebagai penghormatan kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB pertama bagi Pelarian, penjelajah Artik Norway dan kemanusiaan Fridtjof Nansen, untuk menandakan kerja cemerlang bagi pihak pelarian.

Susulan pengiktirafan itu, Merkel akan menerima anugerahnya dan wang hadiah AS$150,000 (RM696,674) pada satu majlis di Geneva pada 10 Oktober ini, yang mana turut memberikan penghormatan kepada empat pemenang serantau.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker