Arul tuntut aksi konsisten

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih hoki Kebangsaan, A Arulselvaraj memuji pasukannya mempunyai tenaga untuk melakukan kebangkitan namun kurang senang dengan kemampuan untuk menyempurnakan peluang terhidang ketika beraksi di Siri Perlawanan Persahabatan Jelajah Belgium.

Menurutnya, anak buahnya sentiasa mempunyai keupayaan untuk bangkit selepas ketinggalan tetapi itu hanya terjadi di suku keempat tidak pada suku kedua mahupun ketiga.

“Mereka bangkit dengan baik sekali terutama di suku keempat walaupun ketinggalan. Mereka bangkit dengan tenaga yang tinggi. Jadi ini menunjukkan mereka mempunyai keupayaan itu untuk berusaha keras,” katanya selepas tumpas 2-3 kepada Perancis, semalam.



Ujarnya, beliau tidak tahu kenapa keupayaan itu kurang pada suku kedua dan ketiga tatkala bermula dengan baik di suku pertama.

“Mereka mempunyai peluang untuk menjaringkan gol di suku pertama dan itulah yang kita perlukan. Gol padang dan juga pukulan sudut penalti. Bagaimanapun peluang itu tidak disempurnakan,” katanya.

Bagi siri persahabatan kali ini Arulselvaraj tidak dapat menguji kehebatan penyerang utamanya, Faizal Saari yang kini masih beraksi di Liga Utama Belanda bersama Kelab Hoki ZSV Schaerweijde dan Mohamad Ashran Hamsani yang masih menjalani sesi pemulihan kecederaan.

“Kekurangan kita sekarang ini adalah peluang yang kita cipta tidak disudahkan dengan tenaga dan keyakinan tinggi.



“Apa pun kekuatan kita adalah bagaimana kita bangkit semula selepas ketinggalan. Saya nampak kekuatan dan tenaga mereka. Begitu juga dengan semangat dan fizikal,” katanya.

Selepas melalui tiga aksi persahabatan dalam siri jelajah berkenaan, pasukannya sudah mencatat satu kemenangan dan dua kali tumpas.

Kemenangan 1-0 diraih pada aksi sulung menentang Belgium A, sebelum dibelasah skuad utama negara berkenaan 0-7 dan yang terbaru semalam ketika kalah tipis 2-3 kepada pasukan kebangsaan Perancis.

“Jangkaan kita adalah untuk menang ketika berdepan Perancis hari ini (semalam) tetapi kita melepaskan peluang,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button