Bekas ADUN Behrang akan bertanding sebagai calon bebas Parlimen Tanjung Malim

IPOH – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Jamaluddin Mohd Radzi mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Bekas ahli PKR itu berkata, keputusan kembali ke dunia politik selepas kira-kira sembilan tahun bergerak tanpa menyertai parti politik, kerana ingin menyambung khidmat kepada rakyat.

Jelasnya, keputusan yang dibuat bukan secara terburu-buru atau didalangi mana-mana pihak, tetapi atas kehendak rakyat dan rakan seperjuangan yang masih setia bersamanya selama ini.

“Setiap kali saya bertemu orang ramai di tempat awam, kebanyakan mereka meminta saya kembali dalam politik dan bertanding pilihan raya, membuatkan saya terpanggil untuk kembali dalam dunia politik.



“Apabila rakyat sukakan kita, adalah rugi jika tidak mengambil peluang ini dalam keadaan tiada parti yang mempunyai dua pertiga untuk memerintah negara,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Jamaluddin pernah menjadi Exco Perak selepas Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Perak pada PRU12.

Bagaimanapun, kerajaan PR Perak yang tertubuh ekoran tsunami politik itu hanya mampu bertahan selama 11 bulan apabila empat ADUN keluar daripada Pakatan.

Mereka termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang kembali menyertai UMNO selepas keluar untuk menyertai PKR.Behrang



Tiga yang lain pula bertindak keluar parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat bebas tetapi menyokong BN.

Mereka ialah Jamaluddin sendiri, Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Jamaluddin berkata, berdasarkan situasi semasa, beliau melihat persefahaman parti lain yang bakal bertanding pada PRU15 juga tidak mempunyai kekuatan.

Katanya, sekali gus membuka ruang untuk beliau kembali bertanding pada PRU.

Tambahan pula, beliau berpendapat, pada PRU15, pengundi akan melihat kepada calon yang boleh memberi khidmat, bukan parti yang diwakili.

Beliau mendakwa masih mempunyai kekuatan dan sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang kerana antara ketiga-tiga DUN di Parlimen itu, DUN Behrang mempunyai pengundi yang ramai.

Menurutnya, sebagai persiapan awal, beliau telah membuka pusat khidmat di Taman Slim Mutiara, sejak Jun lalu.

Mengenai kemungkinan lawan akan menggunakan isu beliau melompat parti menyebabkan kerajaan PR tumbang pada 2009, Jamaluddin berkata, beliau akan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku.

© Astro Awani

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker