Christophe Galtier pengendali baharu PSG

PARIS: Christophe Galtier dilantik sebagai pengendali baharu Paris Saint-Germain untuk tempoh dua tahun, sumber rapat kelab juara Perancis itu mengesahkan semalam.

Galtier, yang mengendali kelab pesaing Ligue 1 Nice musim lalu, mengambil alih teraju PSG daripada Mauricio Pochettino.

Pengendali 55 tahun itu dirakam tiba di ibu pejabat PSG semalam dengan sidang media dijangka dibuat hari ini untuk mengumumkan pelantikannya.



PSG mengambil masa bermingu-minggu untuk mencari pengendali baharu ketika Pochettino dan barisan pembantunya masih di bawah kontrak.

Galtier, yang meninggalkan Nice bulan lalu, membina reputasi sebagai pengendali terbaik di Perancis sejak sedekad lalu.

Dia mengharungi lapan tahun membanggakan di Saint-Etienne, di mana dia memenangi Piala Liga 2013, sebelum empat tahun di Lille yang menjuarai Ligue 1 tahun lalu dengan mengatasi PSG.

Pochettino bakal meninggalkan Paris selepas 18 bulan. Dia memenangi Ligue 1 musim lalu tetapi kekecewaan tersingkir di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid membayangi kejayaan berkenaan.



PSG akan berangkat ke Jepun untuk jelajah pra-musim di mana mereka akan bermain tiga perlawanan antara 20 hingga 25 Julai.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button