Fikry Ibrahim beli pacuan empat roda bersedia untuk bantu mangsa banjir

Melihatkan amaran bencana setiap penghujung tahun membuatkan pelakon Fikry Ibrahim enggan bertangguh membeli kereta pacuan empat roda digunakan untuk misi bantuan banjir.

Ini berikutan tenaga dihulurkannya agak terhad kerana tiada kenderaan sesuai ketika musibah banjir yang mendatangkan kerosakan di beberapa kawasan seperti Taman Sri Muda, Shah Alam dan Hulu Langat, tahun lalu.

Dengan adanya kenderaan pacuan empat roda, Fikry berkata, dia dapat sampai ke kawasan bencana dengan segera.

“Saya dan rakannya tidak dapat masuk ke kawasan terjejas teruk kerana tiada kenderaan bersesuaian untuk menarik bot.

“Jadi, saya tidak berfikir panjang, sebaliknya segera membeli kenderaan pacuan empat roda, minggu lalu.

“Sebelum ini, saya berhasrat membelinya untuk perniagaan, tetapi sering tertangguh. Namun, sebelum musibah banjir berlaku saya tidak mahu menangguhkannya lagi,” katanya kepada BH Online.

Kongsi Fikry, dia tidak dapat membantu mangsa banjir gara-gara tidak memiliki kenderaan pacuan empat roda, tahun lalu.

Namun, katanya, dia putus semangat untuk membantu apabila berkongsi duit bersama rakan membeli dua kayak dan meminjam kereta pacuan empat roda bagi meneruskan usaha mengagihkan barangan seperti selimut dan makanan.

“Saya tidak menghebohkan kerja kebajikan ini kerana bimbang dituduh riak. Lagipun, apa yang saya dan rakan usahakan tidak seberapa jika dibandingkan dengan orang lain.

“Namun, saya terpanggil berkongsi dalam media sosial, baru-baru ini agar lebih ramai bersama menghulurkan tenaga atau wang ringgit bagi membantu mangsa yang terjejas akibat bencana,” katanya.

Fikry berkata, usaha itu dilakukan bersama beberapa rakan baik termasuk pengarah drama.

“Sumbangan dihulurkan daripada duit poket kami tanpa meminta bantuan sesiapa.

“Ini kerana saya tidak berani memegang amanah terutama membabitkan wang ringgit.

“Sebenarnya, kegiatan ini sudah lama dilakukan sebelum banjir besar melanda Shah Alam dan Hulu Langat. Sebelum ini, kami memberi tumpuan di kampung, tetapi bantuan dalam skala kecil dan senyap-senyap sahaja.

“Selain itu, kami juga menghulurkan bantuan kru produksi yang terjejas pada era pandemik. Ada pengarah memperuntukkan duit membeli beras kepada mereka yang memerlukan,” katanya enggan mendedahkan nama pengarah itu.

Selesa melakukan kerja kebajikan bersama rakan, Fikry berkata, setakat ini tidak bercadang mengajak lebih ramai menyertai kumpulan mereka.

“Saya lebih selesa bergerak dengan kelompok kecil, tidak terfikir untuk mengajak orang lain menyertainya.

“Kami juga tidak terfikir membuka akaun untuk mengutip derma. Saya tahu jika akaun diwujudkan tentu ramai ingin menderma, tetapi saya tidak berani pegang amanah.

“Ini kerana jika terambil satu sen pun akan mendatangkan kesusahan. Jadi, saya selesa bergerak dengan tiga hingga empat rakan. selebihnya kami minta bantuan dari sudut tenaga,” katanya.

© Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker