Harimau Selatan ngap Kedah

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 1-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Beraksi di hadapan hampir 15,000 penyokong, Kedah turun dengan impian mahu mencalar rekod kemenangan JDT yang masih kebal musim ini.

Harimau Selatan yang baharu sahaja dinobatkan juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut memberi amaran awal apabila sepakan percuma Leandro Velazquez pada minit ke-10 ditampan penjaga gol Shahril Sa’ari dan dikeluarkan pertahanan Kedah.



Tuan rumah bangkit berusaha memburu gol dan berjaya di depan pada pada minit ke-12 selepas penyerang Ronald Ngah berjaya meloloskan diri daripada dua pertahanan lawan dengan larian ke dalam kotak penalti sebelum menewaskan Farizal Marlias.

Kedah sekali lagi mendapat peluang menambah gol pada minit ke-31 apabila pemain import kelahiran Jordan Mahmoud Al-Mardi melakukan percubaan di bahagian kiri gawang JDT namun sedikit tersasar.

JDT kembali bangkit meningkatkan serangan selepas ketinggalan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil rembatan Bergson Da Silva selepas mendapat hantaran cantik Afiq Fazail pada minit ke-36.

Keadaan sedikit tegang apabila Bergson dilayangkan kad merah selepas mengasari pertahanan Kedah, Rodney Celvin di hujung babak pertama.



Walaupun beraksi dengan 10 pemain, JDT tetap garang pada babak kedua. Leandro sekali lagi mencetak gol kedua untuk JDT pada minit ke-59 menerusi penalti selepas Syafiq Ahmad dikasari pertahanan Kedah Azmeer Aris.

Kedah cuba bangkit namun tandukan Ronald Ngah pada minit ke-66 sedikit tersasar.

JDT yang terus bersemangat memburu gol berjaya menambah satu lagi jaringan hasil rembatan Afiq Fazail pada minit ke-78 dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat permainan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button