Datuk Ehsanuddin Dilepas Dan Dibebaskan

 

Bekas ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas 29 pertuduhan rasuah, selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan itu.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Noor Ehsanuddin ketika dihubungi Bernama hari ini berkata, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei lalu.

“Sepatutnya, hari itu (21 Mei) ditetapkan untuk sambung bicara, namun pendakwaan memberitahu mahkamah untuk menarik balik kesemua pertuduhan tersebut.

“Ini berikutan, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat pernyataan pembelaan di bawah Seksyen 62 Akta SPRM, dan mereka berpuas hati bahawa kesemua transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan (advances), yang telah dibayar balik sepenuhnya.

“Oleh itu, pihak pendakwaan menarik balik kes terhadap anak guam saya dan mahkamah kemudian melepas dan membebaskan Noor Ehsanuddin daripada kesemua 29 pertuduhan rasuah,” kata peguam itu.

Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah memberi keterangan.

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

sinar

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker