Kereta juara dunia Schumacher dilelong
London: Kereta Ferrari yang dipandu Michael Schumacher pada musim 2003 adalah jentera Formula Satu (F1) terbaru milik legenda itu yang akan dilelong.
Tiga kereta Ferrari yang pernah dipandu Schumacher sebelum ini adalah antara empat kereta F1 paling mahal pernah dilelong dengan harga antara £5.2 juta (27.5 juta) sehingga £6.2m (32.8 juta).
Lelongan terbaru yang berada di bawah seliaan Sotheby pada 9 November, masih belum mempunyai tanda harga tetapi sudah pasti akan menjadi salah satu kereta F1 paling mahal yang akan dijual melalui proses lelongan.
Kereta model F2003-GA sempena penghormatan kepada mendiang bos Fiat, Gianni Agnelli itu menyaksikan Schumacher memandu jentera berkenaan memenangi lima perlumbaan ketika dia memburu kejuaraan dunia pada 2003.
Ia adalah kereta yang menyaksikan Schumacher merangkul kejuaraan dunia F1 keenamnya.
Schumacher kini tinggal bersama keluarganya di Switzerland, lokasi di mana F2003-GA akan dilelong.
Situasinya tidak didedahkan kepada umum sejak terbabit dengan insiden kemalangan ski sembilan tahun lalu yang menyebabkannya mengalami koma.
METRO