Tiga ‘Rempit’ ditahan positif syabu

KLUANG: Tiga lelaki yang ditahan selepas melakukan aksi ‘Superman’ ketika berlumba menggunakan dua motosikal di Kilometer 85.5 Jalan Kluang-Kota Tinggi, di sini, lewat malam tadi disahkan positif dadah.

Ketiga-tiga mereka berusia antara 20 hingga 22 tahun disahkan positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dilakukan ke atas mereka di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kluang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata terdahulu tiga suspek yang menggunakan dua motosikal itu dikesan bersaing sesama sendiri dengan aksi ‘zig-zag’ dan menunduk ala ‘Superman’ di lokasi terbabit.



Beliau berkata, aksi berbahaya itu dikesan jam 11.40 malam ketika Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang melakukan pemantauan di Jalan Kluang-Kota Tinggi.

“Ketiga suspek berhenti di tepi Jalan Seri Impian 8/1D di Bandar Seri Impian, di sini, dalam keadaan baik dan selamat.

“Anggota kemudian melakukan penahanan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek yang bekerja sebagai buruh kontrak mempunyai rekod lampau bersabit kes narkotik.



“Ketiga-tiga mereka ditahan dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR serta Honda Wave Alpha disyaki digunakan dalam aksi itu disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button