PAS akan buat keputusan sama ada BN atau PN dalam dua tiga hari



KUALA LUMPUR – Keputusan sama ada PAS memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU sebagai ‘rakan kongsi’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diputuskan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata keputusan itu akan dibuat selepas mesyuarat penuh parti diadakan dalam masa terdekat.

“Satu mesyuarat penuh akan diadakan dan dalam dua atau tiga hari lagi kita akan putuskan mengenainya,” katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mahukan PAS memutuskan segera pendirian sama ada mahu bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU15 atau sebaliknya.



Difahamkan, mesyuarat membabitkan kepemimpinan PAS dijangka diadakan Sabtu ini, dengan keputusan berkaitan pendirian parti dalam kerjasama PRU15 atas dasar perpaduan ummah antara topik utama yang akan dibincangkan.

Terdahulu, BN turut memberi tiga syarat sebagai kata dua yang perlu dipenuhi PAS sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU15 dapat diteruskan iaitu keluar daripada gabungan PN serta memutuskan hubungan politik dengan BERSATU.

Dalam pada itu, Mahfodz berkata, UMNO tidak sepatutnya meletakkan syarat sedemikian kepada PAS, sebaliknya melakukan perbincangan terlebih dahulu.

“Kalau betul-betul ikhlas, patutnya bincang dahulu, kemudian barulah letak syarat.



“Lagipun PAS memang hendak semua orang Melayu Islam bersatu dan kita masih belum putus asa supaya ia berhasil dan perkara itu sangat penting untuk menghalang Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Mengenai perbincangan antara Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ahmad Zahid, beliau mengakui ia satu langkah yang baik, cuma tidak perlulah sebarang syarat diletakkan.

“Sebab yang nak bersepakat adalah kedua-dua pihak iaitu PAS dan UMNO, jadi biarlah masing-masing berlapang dada dan dengan hati terbuka.

“Kalau boleh biarlah penyatuan ummah itu berjaya supaya boleh mengekang PH daripada berkuasa semula kerana pahit maungnya yang dirasai rakyat sepanjang 22 bulan pentadbiran mereka,” katanya.



© Berita Harian



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker