Pasta, lasagna rahsia hatrik Haaland

MANCHESTER: Erling Haaland mendedahkan resipi rahsia kejayaannya meledak banyak gol setakat ini iaitu dengan menikmati sepinggan lasagna masakan ayahnya sebelum perlawanan.

Penyerang Norway itu merakam hatrik ketiga berturut-turut di laman sendiri ketika Manchester City membenam seteru tetangga Manchester United 6-3 hujung minggu lalu.

Haaland, 22, mengumpul 17 gol dalam 10 perlawanan sejak berpindah dari Borussia Dortmund pada musim panas.

Kehebatannya merobek gawang lawan sukar diterima United dan pemain kelahiran Leeds itu berkata, makan malam makanan Itali masakan sendiri bapanya Alfie membolehkannya meneruskan impiannya.



Dia memberitahu penyiar Norway Viasat, melalui Spox: “Ayah saya masak lasagna untuk saya sebelum tiga perlawanan terakhir di tempat sendiri.

“Beliau pasti meletakkan sesuatu yang istimewa ke dalamnya!”

Bekas pemain tengah Nottingham Forest, Leeds dan City, Alfie, 49, menonton penuh kepuasan menyaksikan anaknya merobek benteng pertahanan United tiga kali pada aksi di Etihad.

Susulan jaringannya, Haaland muncul pemain pertama dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) menjaringkan hatrik dalam tiga perlawanan berturut-turut di tempat sendiri selepas catatan hatrik menentang Crystal Palace dan Nottingham Forest.



Ia juga bermakna dia meraih 14 gol dalam lapan perlawanan EPL bersama City setakat ini.

Rakan sepasukannya Phil Foden yang turut merakam hatrik melaungkan amaran kepada pemain pertahanan di seluruh England betapa penyerang muda itu mampu ‘menakutkan’ mereka.

Bintang England itu berkata: “Dia seorang yang berbakat besar dan saya seronok bermain dengannya. Dia pemain baharu dan kami masih cuba membiasakan diri bermain dengannya.

“Memang menakutkan untuk memikirkan apa yang dia sudah lakukan dalam pasukan dan dia ternyata masih belum puas. Lagipun gandingan kami hanya baru bermula.”

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker