Agong perkenan batal proklamasi darurat di tiga Parlimen

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan membatalkan proklamasi darurat di tiga kawasan Parlimen iaitu Parlimen Gerik, Batu Sapi dan Bugaya.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022 dimasyhurkan oleh Seri Paduka menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas warta itu, pemasyhuran pembatalan proklamasi darurat itu dilaksanakan di Istana Negara, semalam.

Pada 12 Disember 2020, Seri Paduka di bawah Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan berkenan mengeluarkan suatu proklamasi darurat yang dinamakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 di tiga Parlimen itu.

Langkah itu diambil disebabkan oleh suatu darurat besar berlaku yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam iaitu wabak Covid-19 untuk mengekang sebarang pilihan raya kecil diadakan di Parlimen berkenaan.

Dalam pada itu, pembatalan proklamasi darurat itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum diadakan.

Difahamkan, pembatalan proklamasi darurat perlu dilaksanakan supaya pilihan raya dapat diadakan di tiga Parlimen itu seiring dengan PRU15.

© Utusan Online 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker