Malaysia juara Hoki Dalam Dewan Piala Asia

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara mencipta sejarah apabila muncul juara buat kali pertama dalam saingan Hoki Dalam Dewan Piala Asia selepas mengatasi Iran menerusi penentuan shoot out 3-2 pada aksi final yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan skuad negara memecahkan dominasi Iran yang muncul juara dalam setiap edisi sejak diperkenalkan pada tahun 2008.

Kemenangan turut membolehkan skuad negara yang dibimbing Amin Rahim melunaskan dendam ke atas Iran selepas tewas dalam empat aksi final di tangan lawan berkenaan pada edisi 2008, 2009, 2010 dan 2014.

Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius menjadi watak penting skuad negara hari ini apabila masing-masing tenang menyempurnakan shoot out selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 sehingga tamat masa sebenar permainan.

Pada aksi itu, Iran bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Mohsen Bohlouli yang menyempurnakan pukulan sudut penalti, sebelum Muhammad Ashran Hamsani mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-12.

Giliran skuad negara mendahului permainan apabila penyerang kelahiran Sabah, Shello Silverius menjaringkan gol empat minit kemudian, namun kedudukan kembali terikat apabila Iran menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi Amirmahdi Mirzakhani.

Pada minit ke-26 Malaysia kembali berada di depan apabila Mohd Norhafizie Jamil Azomi mencetak nama sebagai penjaring, sebelum kedudukan terikat 3-3 apabila pemain Iran, Mohammad Karimi meledak gol padang enam minit kemudian.

Ashran menjaringkan gol kedua peribadi untuk membolehkan Malaysia mendahului 4-3 namun ia tidak bertahan lama apabila Hamid Nooranian menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti sebelum penentuan berakhir dengan shoot-out yang menjadi milik Malaysia.

Sementara itu, skuad wanita negara berjaya menduduki tempat ketiga apabila mengalahkan Kazakhstan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat dengan dua gol negara diraih melalui penalti stroke yang disempurnakan Iren Hussin minit ke-15 dan Nur Aisyah Yaacob (39).

 

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker