Selamba curi tong gas, penghuni rumah sempat rakam

Kajang: Seorang lelaki sanggup memanjat pagar sebuah rumah Taman Rakan, di sini, sebelum melarikan tong gas, hari ini.

Kejadian itu disedari penghuni rumah berkenaan sebelum merakam perbuatan itu dan memuat naik di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, hasil siasatan lanjut kemudian berjaya menahan suspek di sekitar bandar ini hari yang sama.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga menemui semula tong gas yang dicuri manakala semakan mendapati motosikal digunakan dalam kejadian dilaporkan hilang sebelum ini.

“Berdasarkan rakaman video yang tular, lelaki itu memanjat pagar dan melarikan tong gas yang diletakkan di kawasan depan rumah.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal bersendirian tidak mengenali suspek dan sempat merakam kejadian dengan menggunakan telefon bimbit.

“Semakan juga mendapati suspek adalah individu dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis memohon perintah reman di Mahkamah Majistret Kajang esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Sarjan Wan Noorhasmizan Wan Asri di talian 012-9548532 bagi menyalurkan maklumat dan membantu siasatan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker