Tomori mahu buktikan peningkatan kepada Chelsea
Milan: Pemain pertahanan AC Milan, Fikayo Tomori berkata, dia mahu menunjukkan sejauh mana peningkatannya kepada bekas majikannya, Chelsea apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stamford Bridge, awal pagi Khamis ini.
Tomori menyertai Milan dari kelab London itu pada Jun tahun lalu selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika dipinjamkan dan menjadi pemain penting ketika Milan menang gelaran liga buat kali pertama dalam 11 musim.
“Setiap pemain bola sepak apabila berada di padang, sudah pasti ada sesuatu yang mahu dibuktikan,” kata Tomori kepada media.
“Sudah tentu, datang dari Chelsea dan menjadi pemain Inggeris, ia mungkin menjadi motivasi tambahan.
“Ia adalah peluang kepada untuk bertemu beberapa muka yang biasa dilihat dan menunjukkan sejauh mana saya sudah meningkat.
“Saya tahu, ramai orang menyaksikan perlawanan Milan, tetapi kembali semula di Stamford Bridge apabila semuanya bermula di sana, ia adalah peluang untuk menunjukkan diri saya sekali lagi.”
Prestasi menarik Tomori bersama Milan menyaksikan dia beberapa kali dipanggil menyertai skuad England, tetapi pemain berusia 24 tahun itu kerap diletakkan sebagai pemain simpanan dan hanya bermain sekali pada 2022.
“Saya masih ada kerja yang perlu dilakukan untuk melayakkan diri bersama skuad ke Piala Dunia dan saya berharap dapat melakukannya,” katanya.
“Ada banyak lagi perlawanan selepas ini untuk saya cuba berada dalam skuad dan pada masa sama, berharap ada posisi sesuai untuk saya mendapatkan minit permainan di padang.”
METRO