UK mulakan siasatan awam tindak balas pandemik COVID-19

LONDON: Siasatan awam mengenai tindak balas dan pengendalian Britain mengenai pandemik COVID-19 bermula semalam.

Ia bertujuan mencari kebenaran dan mendedahkan sebarang salah laku atau tindakan yang boleh menjejaskan Britain.

Negara itu merekodkan hampir 20 juta jangkitan COVID-19 dan lebih daripada 160,000 kematian iaitu yang ketujuh tertinggi di dunia.

Bekas Perdana Menteri, Boris Johnson dan pentadbirannya berdepan kritikan dalam mengendalikan krisis berkenaan.

Tahun lalu, Johnson mengarahkan siasatan terbabit untuk melihat kesiapsiagaan negara serta tindak balas kesihatan dan ekonomi awam, yang diketuai bekas hakim, Heather Hallett.

Menurut Hallett, siasatan itu akan menganalisis kesediaan untuk wabak dan tindak balas terhadapnya yang diselaras kerajaan.

Ia bertujuan menentukan sama ada tahap kerugian tidak dapat dielakkan dan sekiranya wujud reaksi lebih baik kesan daripada tindakan diambil kerajaan.

Menurut peguam utama, Hugo Keith, siasatan itu akan menjadi usaha besar yang tidak pernah dilakukan sebelum ini serta dibahagikan kepada beberapa modul, bermula dengan tahap kesiapsiagaan Britain.

Keith berkata, kewajipannya adalah mendapatkan kebenaran, memastikan fakta penuh didedahkan, mencari tindakan dan keputusan yang salah untuk didedahkan kepada orang ramai serta mencari pengajaran.

Satu lagi laporan bersama oleh Ahli Parlimen di bawah jawatankuasa kesihatan dan sains merumuskan bahawa perintah berkurung pertama dilaksanakan di England adalah satu kesilapan.

Menurutnya lagi, kegagalan melakukan ujian secara meluas bagi mengesan kes positif dan kontak rapat turut menyebabkan krisis bertambah buruk.

Malah, penasihat utama Johnson, Dominic Cummings, berkata strategi awal Britain bagi memerangi COVID-19 ibarat satu ‘bencana’ dan banyak ‘keputusan buruk’ sehingga mendorong pelaksanaan perintah berkurung, yang sebenarnya tidak perlu.

Berdasarkan data terkini, jangkitan COVID-19 global kini melebihi 624 juta termasuk lebih 6.5 juta kematian di 228 negara.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker