Wanita ini kini bebas kanser payudara

KUALA LUMPUR – Kesedaran awal membuat pemeriksaan payudara memberi harapan kepada wanita untuk sembuh sepenuh daripada didiagnosis kanser yang mungkin berisiko membawa maut.

Bagi suri rumah, Yuhana Mohamad Jainul Abidin, 44, kesedaran membuat memeriksa payudara berjaya menyelamatkan dirinya daripada menghidap barah payudara kategori kronik.

Kata Yuhana, namun yang mengejutkan pemeriksaan kali pertama dilakukan ketika mandi dengan menggunakan sabun, mendapati ada ketulan pada payudara kiri.

“Payudara saya agak besar, jadi sukar untuk mengiyakan, selain beranggapan mungkin perubahan kerana datang bulan, namun saya tidak berlengah melakukan pemeriksaan.



“Esoknya saya mendapatkan pemeriksaan dan doktor di klinik merujuk saya ke hospital kerana saiz benjolan itu agak memanjang. Selepas tiga hari keputusan diperoleh di hospital menunjukkan saya menghidap barah payudara.

“Bagaimanapun, doktor yang melakukan pemeriksaan itu terlalu’ direct’ dengan saya di mana menyarankan melakukan pembedahan pembuangan payudara atau ‘mastectomy’.

“Saya ‘blank’, tidak menangis, diam tetapi terkejut dengan penjelasan itu,” katanya yang didiagnos barah payudara pada Ogos 2017 pada usia 40 tahun.

25 Kali Buat Radioterapi



Beliau kemudian memilih mastectomy kerana pernah melihat sepupunya meninggal dunia dalam keadaan payudara pecah kerana barah, namun dihalang kakaknya kerana ingin mendapatkan pendapat lain.

Dalam tempoh tiga minggu, akhirnya kakak berjaya mendapatkan doktor di sebuah hospital swasta dan doktor menyarankan melakukan lumpectomy, iaitu buang tisu sel barah kerana tumor bersaiz 1.5 sentimeter (sm) dan masih berada di peringkat awal.

“Semuanya berjalan dengan lancar dan doktor mengatakan saya menghidap ‘triple negative breast cancer’, jadi hormon saya semuanya negatif, reseptor negatif dan doktor memberikan saya ubat kemoterapi secara infusi intravena.

“Saya melalui lapan kali proses kemoterapi dan 25 kali radioterapi,” katanya yang kini memasuki tahun kelima bebas daripada barah payudara.

Beliau bersyukur kerana tindakan pantas berjaya menyelamatkan nyawanya dan sentiasa mendapatkan pandangan doktor terlatih, bukannya pandangan daripada orang sekeliling apa perlu dilakukan.

“Ramai sarankan saya mengambil itu dan ini, tetapi saya tetap dengan pendirian mendapatkan nasihat doktor.

“Mereka prihatin, tetapi saya tidak mahu tanggung risiko dan lebih yakin dengan rawatan di hospital.

“Sokongan keluarga amat hargai kerana ketika itu emosi bercelaru, jadi tanpa mereka proses penyembuhan mungkin memakan masa lama,” katanya melakukan rawatan susulan setahun sekali untuk memastikan sel barah itu tidak aktif.

Yuhana berkata, selepas menjalani pembedahan, menjaga pemakanan sihat, bersenam dan jangan terlalu memikirkan barah penting bagi mengelak barah menyerang kembali.

“Saya ada dua anak remaja perempuan dan sentiasa memberi kesedaran melakukan pemeriksaan dan menjalani gaya hidup sihat, tambah pula ada sejarah keluarga menghidap barah.

“Emak saya barah usus rahim, datuk barah usus, kakak sulung menghidap barah servik dan sepupu barah payudara selepas mengalami bengkak susu selepas bersalin.

“Jadi, semua wanita perlu rawatan segera dan kerap buat pemeriksaan kerana ia mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker