Xavi berang Bacelona tewas angkara pengadil

MILAN: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berkata dia berang dengan apa yang dilihatnya sebagai ketidakadilan oleh pengadil yang menyebabkan pasukannya tewas 1-0 dalam Liga Juara-Juara kepada Inter Milan awal pagi tadi.

Barca berkedudukan ketiga Kumpulan C, enam mata di belakang pendahulu Bayern Munich, selepas mengalami kekalahan kedua dalam kejohanan itu apabila dua kali bola terkena tangan tidak memberi kelebihan buat mereka.

Gol penyamaan babak kedua mereka dibatalkan selepas pengadil Slavko Vincic melihat rakaman bola terkena tangan Ansu Fati sebelum ia menemui Pedri yang terus merembat ke gawang.

Dan Barca dinafikan penalti pada penamat aksi selepas pegawai VAR membuat keputusan bahawa Denzel Dumfries tidak memegang bola walaupun dilihat melakukan perkara sama seperti terjadi kepada Fati.

“Jika anda tanya saya, saya memang marah… dunia memang marah kerana ia tidak masuk akal, ia tidak adil,” kata Xavi kepada wartawan.

“Saya rasa ia tidak adil, saya tidak boleh sembunyikannya.”

Xavi menegaskan bahawa pengadil sepatutnya menerangkan keputusan dibuat mereka kepada wartawan selepas perlawanan sama seperti dilakukan pengurus selepas pasukan mengalami kekalahan.

“Saya rasa pengadil sendiri sepatutnya memberi penjelasan. Dia perlu ke sini dan menerangkannya, tapi dia sudah pulang,” katanya.

“Saya rasa mereka patut bercakap. Ia penting untuk mereka menerangkan keputusan yang dibuat, sama seperti kami. Saya rasa ia amat penting.”

Simone Inzaghi berkata dia tidak melihat insiden yang menyebabkan Xavi sangat marah selain bola yang terkena tangan Fati kerana dia fokus kepada mencari kemenangan yang kembali membawa Inter ke landasan sebenar selepas keputusan yang buruk.

Gol kemenangan Inter dijaringkan Hakan Calhanoglu sebelum tamat babak pertama.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker