AHB umum agihan pendapatan 5.00 sen seunit

Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) mengumumkan pengagihan pendapatan akhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 30 September 2022, menjadikan jumlah pengagihan bagi 2022 adalah sebanyak 5.00 sen seunit.

Jumlah itu terhasil daripada pengagihan pendapatan asas sebanyak 2.18 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.32 sen seunit.

Jumlah bonus yang diberikan ini adalah sumbangan daripada PHB selaku penaja dana AHB dan pengagihan bonus itu adalah terhad kepada 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

Pada April 2022, PHB dan MAM telah mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 2.15 sen seunit berserta pengagihan bonus sebanyak 0.35 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2022.



Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan AHB bagi tahun ini 5.00 sen seunit atau bersamaan dengan 5.0 peratus setahun, dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM183.06 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2022.

Pengarah Urusan Kumpulan PHB, Datuk Mahmud Fauzi Muda, berkata walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran di dalam pasaran semasa, pada tahun 2022 aktiviti penyewaan telah meningkat secara beransur-ansur berbanding pada 2021.

“Sejak 2011, AHB telah membayar pengagihan pendapatan lebih kurang RM1.87 bilion kepada pelabur. PHB adalah sebuah syarikat operasi tunggal kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah institusi amanah yang bernaung dibawah bidang kuasa kerajaan Malaysia.

“Selain mempunyai harga tetap berjumlah RM1 untuk setiap unit, AHB turut menawarkan banyak lagi ciri-ciri yang menarik seperti pengeluaran segera, patuh syariah dan pengagihan pendapatan sebanyak dua kali setiap tahun.



“Menjelang hujung tahun ini, AHB akan melancarkan aplikasi mudah alih ‘MyAHB’ bagi membolehkan pemegang unit memantau dan menguruskan pelaburan AHB mereka dengan mudah dari rumah.

“Aplikasi mudah alih MyAHB membolehkan pemegang unit melihat portfolio pelaburan dan baki akaun mereka, melanggan unit tambahan atau menebus pelaburan dari dalam talian. Ia juga boleh menjejaki transaksi terkini dan memuat turun penyata akaun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pengagihan pendapatan AHB telah dikecualikan daripada cukai dan telah dizakatkan. Ia akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank pemegang-pemegang unit pada 14 Oktober ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmed Muzni Mohamed, berkata seperti yang diumumkan pada April lalu, pihaknya akan meneruskan skim pelaburan semula pengagihan pendapatan khusus untuk pemegang unit runcit di mana agihan pendapatan yang diperoleh akan dilaburkan semula sama ada sebahagian atau keseluruhan unit.

“Pemegang unit runcit dengan baki bulanan minimum 10,000 unit atau kurang akan menerima agihan pendapatan secara tunai, manakala mereka yang mempunyai lebih daripada 10,000 unit, akan menikmati agihan pendapatan dalam bentuk unit AHB.

“Bagi pemegang unit institusi, mereka akan terus menerima agihan pendapatan secara tunai. AHB membenarkan pengeluaran dan penebusan segera buat pelabur yang menerima agihan pendapatan dalam unit AHB dan pelabur boleh menukar unit itu kepada tunai di cawangan bank berdekatan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker