Aliran bebas pelbagai lorong, bayar tol tanpa palang menjelang 2025

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan untuk memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan MLFF, kenderaan tidak perlu berhenti untuk membayar tol dan tiada palang tol.

“Seterusnya adalah rundingan bersama semua syarikat konsesi tol mengenai bagaimana ia akan dilaksanakan supaya dapat memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Menteri Kanan Kerja Raya Bersama Media di sini malam ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Menurut Fadillah, MLFF adalah antara inisiatif di bawah Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) 2019-2023 KKR yang dibangunkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi ITS di negara ini.

Selain itu, Fadillah memaklumkan KKR juga memulakan proses membangunkan penimbang berat kenderaan bagi mengesan lori lebih muatan yang boleh menjadi punca kesesakan dan kerosakan jalan raya.

Beliau berkata, ia bagi mengesan had muatan secara automatik dan tindakan undang-undang akan terus dikenakan kepada syarikat lori tersebut.

Sementara itu, Fadillah berkata, kementeriannya akan memfokuskan isu keselamatan jalan raya seperti yang dibincangkan pada Persidangan Dunia ITS kali ke-28 dari 19 hingga 22 Sept lepas di Los Angeles, Amerika Syarikat.

metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker