Had pembiayaan Kumpulan Wang COVID-19 meningkat RM65 bilion
KUALA LUMPUR – Had pembiayaan Kumpulan Wang COVID-19 meningkat RM65 bilion pada November tahun lalu melalui pewartaan Akta Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021.
Menurut laporan itu pembiayaan asal adalah sebanyak RM45 bilion, namun pada 17 November tahun lalu, had pembiayaan dinaikkan kepada RM110 bilion melalui Akta itu yang bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan dengan amaun keseluruhan RM225 bilion.
“Pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang tertinggi pada 2021 adalah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan peruntukan RM150 bilion,” demikian menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.
Menurut laporan itu, perbelanjaan Kumpulan Wang COVID-19 pada 2021 adalah RM 37.11 bilion atau 96.7 peratus berbanding RM39 bilion yang diluluskan.
Perbelanjaan tertinggi membabitkan pemberian tunai, subsidi dan geran kepada golongan sasar meliputi program Bantuan Prihatin Nasional; Program Subsidi Upah; Insentif Pengekalan Pekerjaan; Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan serta Geran Prihatin bagi Peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berjumlah RM28.306 bilion atau 75.1 peratus berbanding 2021.
Menurut laporan itu juga, terdapat peningkatan perbelanjaan bagi program Sokongan Bantuan Sosial untuk golongan mudah terjejas; peruntukan bagi perbelanjaan berkaitan COVID-19 dan diskaun bil elektrik berbanding 2020.
Bagi perbelanjaan program Sokongan Bantuan sosial, RM2.811 bilion telah dibelanjakan, meningkat RM2.714 bilion berbanding 2020 yang berjumlah RM96.93 juta dan peningkatan ketara itu disebabkan pelaksanaan 20 subprogram berbanding empat subprogram.
Selain itu, sebanyak RM2.686 bilion dibelanjakan bagi peruntukan perbelanjaan berkaitan COVID-19 pada 2021, iaitu meningkat RM1.895 bilion berbanding 2020 yang berjumlah RM791.15 juta untuk membiayai perbelanjaan yang membabitkan pelbagai kementerian dan agensi.
Mengenai diskaun bil elektrik pula, RM489.50 juta dibelanjakan pada 2021 bagi tujuan subsidi bil elektrik, meningkat RM311.97 juta berbanding 2020 yang berjumlah RM177.53 juta.
“Pembayaran diskaun itu membabitkan pembayaran kepada pembekal perkhidmatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” menurut laporan itu.
© Berita Harian