Ini hasil selepas 25 tahun menyimpan kuku

Selama 25 tahun menyimpan kuku, seorang wanita dari Minnesota, Amerika Syarikat memiliki ukuran keseluruhan 13.0658 meter (42 kaki 10.4 inci) sekali gus menjadikan beliau sebagai wanita yang memiliki kuku terpanjang di dunia.

Ukuran tersebut melebihi kepanjangan sebuah koc bas iaitu 12 meter! Tuan badan, Diana Armstrong, 64 memberitahu kali terakhir beliau ke salun untuk merias kukunya ialah 22 tahun lalu.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya punca Diana berbuat demikian.

Mirror UK wanita itu berikrar tidak akan memotong kukunya selepas anak perempuannya, Latisha, 16, meninggal dunia secara tragis dalam tidur akibat serangan asma.

Anak perempuannya adalah orang terakhir yang membuat kuku untuknya. Difahamkan anak perempuannya itu melakukan rutin berkenaan setiap hujung minggu.

Anak-anak yang lain cuba memujuk wanita itu untuk memotong dan merias kuku namun tidak berjaya.

Bekas pendandan rambut itu mengakui bertarung dengan kemurungan selama sedekad selepas pemergian anak tersayang.

Sementelah malam sebelum kematian, Tisha telah membantu Diana merias kukunya. Justeru hanya dengan cara menyimpan kuku beliau dapat memperingati gadis itu.

Malahan selepas pemergian mendiang, Diana berhenti daripada menjadi pendandan rambut.

Setiap kali saya melihat kuku ini, ingatan saya akan kembali kepada Tisha,” katanya.

Bercakap tentang keadaannya sama ada pernah mengalami kecederaan atau tercakar kerana memiliki kuku terlalu panjang, Diana mengakui pergerakan terbatas.

Diana berkata beliau sering menggunakan kakinya untuk mengambil pakaian dari lantai atau membuka peti sejuk

“Saya masih boleh menarik zip seluar atau jaket, tetapi saya memerlukan pisau untuk membuka tin minuman.

“Saya boleh mengambil kertas tetapi jika saya terjatuh syiling di atas lantai, itu akan kekal di sana!” seloroh Diana yang tidak berupaya mengutip objek kecil di lantai.

Diana juga tidak berupaya memandu kerana kuku yang panjang menyebabkan tugas itu mustahil untuk dilakukan. Sebelum ini, apabila memandu wanita itu akan membiarkan kukunya di luar tingkap kereta.

Anak perempuan Diana, Rania berkata agak sukar pada mulanya untuk menerima keadaan itu, tetapi lama kelamaan menjadi terbiasa.

“Kami perlu lebih berhati-hati apabila ibu ada bersama supaya beliau tidak terpukul kami dengan kuku dan kami juga tidak tersadung akibat kukunya.” ujar Rania.

Rania menambah beliau memperuntukkan kira-kira 10 jam untuk menggilap kuku ibunya.

“Untuk meriasnya saya perlu menggunakan alat pengisar kayu Dremel. Saya melakukannya setiap empat hingga lima tahun dan menghabiskan sebanyak 15 dan 20 botol pengilat kuku.

“Saya mengecatnya minggu lepas dan ia mengambil masa selama empat hari,” kata Rania kepada Guinness World Records.

“Saya rasa kuku saya cantik. Bagi orang lain mungkin tidak cantik, tetapi bagi saya ia memang cantik,” tutur Diana yang bersyukur seluruh ahli keluarga memahaminya.

Sebelum ini rekod kuku terpanjang pada sepasang tangan (perempuan) dipegang oleh wanita Amerika Syarikat, Ayanna Williams. Ukuran kuku wanita itu ialah 5.764 meter (18 kaki 10.9 inci).

Wanita itu bagaimanapun mengambil keputusan memotong kukunya pada tahun 2021 selepas ia semakin berat hingga menyukarkan aktiviti seharian.

Pemegang rekod sebelum itu ialah Lee Redmond, 81, dengan kuku sepanjang 7.513 meter (24 kaki 7.8 inci ). Wanita itu kehilangan rekod dunia yang dipegang selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada awal 2009.

Pelbagai cerita perihal kuku tetapi diharapkan wanita tidak lupa menjaga kebersihan diri ya.

© Sinar Halus 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker