KWAP umum dua pelantikan kanan baharu

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) hari ini melantik Haizad Rizal A Aziz sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu dan Maz Mirza Mohd Aminurashid sebagai Ketua Pegawai Digital (CDO) berkuat kuasa pada 3 Oktober 2022.

KWAP dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata, Haizad Rizal mempunyai pengalaman luas menjangkau lebih 20 tahun dengan kepakaran dalam membuat keputusan korporat, penambahbaikan perniagaan, pembangunan strategi kewangan, memacu transformasi dan tanggungjawab fiskal serta integriti dan ketelusan.

“Beliau pernah bertugas selama sedekad di Ireland dan apabila pulang ke tanah air, Haizad memegang pelbagai jawatan penting dalam Kumpulan Perbankan RHB dan seterusnya dilantik sebagai CFO Kumpulan di Kumpulan Syarikat Johawaki.

“Sebelum menyertai Sime Darby Oils pada November, 2021 dengan memegang jawatan yang sama iaitu CFO, beliau pernah memegang jawatan CFO Kumpulan di SME Bank, katanya.

Haizad Rizal adalah Felo Institut Akauntan Bertauliah (Institute of Chartered Accountants, ICAI), Ireland dan memegang ijazah BA (Kepujian), Perakaunan dan Kewangan dari Dublin Business School.

Beliau juga berjaya menamatkan Program Lanjutan Pengurusan dan Kepimpinan Oxford (Advanced Management and Leadership Programme, OAMLP) di Said Business School, University of Oxford, United Kingdom, kata KWAP.

Sementara itu, Maz Mirza mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam bidang Teknologi Maklumat dan Keselamatan Siber dan pernah memegabng jawatan sebagai sebagai Ketua Jabatan Teknologi Maklumat di Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Sebelum menyertai MRT Corp, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Teknologi Maklumat di pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom).

Selain itu, Maz Mirza pernah berkhidmat di beberapa anak syarikat Kumpulan Sime Darby selama 13 tahun, kata KWAP.

Maz Mirza ialah pemegang ijazah kepujian Sains Komputer dari University of Cambridge diperoleh pada tahun 1997.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Nik Amlizan Mohamed berkata: “Menerusi pengalaman dan pemahaman mereka yang mendalam mengenai keperluan untuk pertumbuhan mampan, KWAP yakin bahawa TERAS 5 berperanan mengukuhkan asas KWAP supaya dapat mencatatkan pertumbuhan secara lestari, ia mampu dicapai di bawah kepimpinan yang berdedikasi dan berkebolehan tinggi.”

TERAS 5 adalah program tiga tahun yang berasaskan lima tunggak utama iaitu Struktur, Tadbir Urus, Modal Insan, Proses dan Digital yang akan memacu lapan aliran kerja.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker