Lagi pejuang Palestin dibunuh Israel

Pejuang berkenaan ditembak dan dua lain cedera.

DEIR AL-HATAB – Seorang penduduk Palestin maut ditembak dan sekurang-kurangnya dua orang lain cedera dalam operasi serbuan tentera Israel berhampiran Nablus di Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan mangsa dikenali sebagai Alaa Zaghal, 21, meninggal dunia selepas ditembak di bahagian kepala.

Dilaporkan, dua wartawan turut cedera dalam pertempuran di lokasi berkenaan.



Agensi berita Wafa melaporkan, kedua-dua wartawan itu bekerja di rangkaian televisyen Palestin TV.

Menurut tentera Israel, pihaknya cuba menahan lelaki dikehendaki, Salman Amran, 35, dari kumpulan Hamas dan didakwa sebelum ini dipenjarakan kerana disyaki terlibat dalam serangan tembakan.

“Tentera Israel berjaya mengepung rumah suspek dan dia melepaskan tembakan ke arah pasukan kami sehingga mencetuskan pertempuran.

“Pertempuran itu berakhir selepas suspek menyerah diri,” jelas dalam kenyataan.



Sementara itu, penduduk tempatan berkata, tentera Israel mengepung sebuah rumah di perkampungan terletak di timur Nablus.

Operasi itu dijalankan ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin, Hussein al-Sheikh mengunjungi Washington untuk berbincang dengan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button